suria

BAM Mungkin Pisahkan Misbun Dari Chong Wei

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal memberi tugas baru kepada Datuk Misbun Sidek untuk mengendalikan skuad pelapis negara.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata kemungkinan besar Misbun tidak lagi melatih pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei sebaliknya tugas tersebut akan diserahkan kepada Rashid Sidek dan Tey Seu Bock.

"Saya yakin bahawa Misbun dapat menerima keputusan tersebut kerana beliau (Misbun) kelihatan tenang ketika dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Bagaimanapun keputusan rasmi mengenai kontrak Misbun hanya akan diumumkan pada Mesyuarat Exco BAM pada 28 April nanti," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan Badminton di pejabat BAM di Stadium Juara Bukit Kiara.

Ng berkata ramai bertanyakan siapa yang akan menggantikan Chong Wei satu hari nanti, maka BAM telah memberi cabaran buat Misbun untuk membentuk satu kumpulan pemain yang berkaliber yang diharapkan akan menggantikan Chong Wei satu hari nanti sekiranya beliau bersara selepas Sukan Olimpik London 2012 nanti.

"Maka oleh sebab itulah kita menawarkan kontrak sedemikian kepada beliau (Misbun) dalam menjadi jurulatih kepada kumpulan pemain yang mampu diketengahkan ke dalam skuad elit suatu hari nanti," katanya.

Beliau berkata BAM melihat kemampuan Misbun yang dilihat serasi mengajar pemain yang baru untuk ditawarkan kontrak selama dua tahun.

"Kita telah berbincang dengan ahli gabungan dan beberapa persatuan lain termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), pemain dan penaja untuk kontrak Misbun yang akan disambung 2 tahun ini," katanya.

Selepas tiga bulan berdiam diri, pada 1 April lepas Misbun bersetuju kembali ke pangkuan BAM dan bersetuju untuk menarik balik surat peletakan jawatannya yang bertarikh 31 Dis lepas.

Isu peletakan jawatan Misbun yang juga jurulatih kepada Chong Wei mencetuskan kontroversi selepas beliau mengambil sikap berdiam diri sejak menyerahkan surat peletakan jawatannya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, BAM membuat keputusan untuk melantik jurulatih pelapis perseorangan wanita Sekolah Sukan Bukit Jalil, Chi Shan Rong sebagai jurulatih perseorangan wanita kebangsaan.

"Shan Rong dilihat berdedikasi dan menunjukkan sifat kejurulatihan yang baik dan beliau yang dilihat terbaik untuk memikul tugas tersebut," kata Ng.

Beliau berkata BAM juga telah melantik bekas pemain perseorangan wanita, Wong Mew Choo sebagai jurulatih pelapis perseorangan wanita.

"BAM percaya dia (Mew Choo) mampu mengendalikan tugas ini dan dia bolehlah mengendalikan skuad negara satu hari nanti,"katanya.

Beliau berkata dua pemain perseorangan wanita daripada skuad pelapis iaitu Sonia Cheah dan Yang Lilian akan dipertimbangkan untuk menyertai skuad elit negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain