suria

Alexander Noren & Rory McIlroy Kongsi Pendahulu Pusingan Ke-2

KUALA LUMPUR: Pendahulu pusingan pertama, Alexander Noren dan Rory McIlroy berkongsi pendahulu sementara pusingan kedua dengan catatan 11 bawah par 133 pada Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia di sini, Jumaat.

Pusingan kedua kejohanan bernilai US$2.5 juta (RM7.56 juta) itu tergendala selama dua jam 40 minit mulai pukul 3.37 petang akibat hujan lebat dan petir sebelum disambung semula pada pukul 6.15 petang.

Dalam pertandingan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara, Noren dari Sweden melakarkan empat birdie dan satu bogey pada lubang ke-15 untuk mengumpul tiga bawah par 69 selepas mencatatkan 64 semalam.

"Saya gembira dengan prestasi pada 14 lubang tetapi cuaca panas menjejaskan tumpuan saya selepas itu.

"Saya bermula dengan baik dan bola sampai ke lapangan pada dua lubang par lima dengan hanya dua pukulan serta dapat melakukan birdie dengan mudah," kata Noren, 28, yang memperoleh kejuaraan sulung pada Jelajah-Asia-Jelajah Eropah dengan memenangi Kejohanan Omega European Masters di Switzerland pada 2009.

Dalam pada itu, McIlroy dari Ireland Utara, yang melakukan catatan 69 semalam, berkongsi kedudukan utama dengan membenam lapan birdie untuk melakarkan lapan bawah par 64.

"Saya memang beraksi dengan cemerlang hari ini. Saya melakukan pukulan baik. Catatan 11 bawah par selepas dua hari adalah usaha baik memandangkan saya datang dari jauh dan belum pernah melihat lapangan, " katanya.

Ketinggalan satu pukulan d belakang pendahulu bersama ialah pemain England, Simon Dyson dengan jumlah dua pusingan sebanyak 10 bawah par 134 selepas melakukan 64 hari ini.

"Saya tidak berada dalam keadaan baik semalam dan terus ke bilik dan tidur. Selepas bangun dari tidur, saya rasa lebih baik semula dan mampu melakukan lapan birdie tanpa bogey," kata Dyson, yang pernah memenangi empat kejuaraan dalam Jelajah Asia.

Pemain Scotland Stephen Gallacher dan Brett Ruumford dari Austria berkongsi kedudukan tempat keempat selepas mengumpul tujuh bawah par 137.

Manakala pemain nombor satu dunia Martin Kaymer sekali lagi kecewa dengan ketinggalan lapan pukulan di belakang pendahulu selepas catatan 71 pada pusingan kedua.

Berikutan keadaan cuaca hujan dan petir, seramai 77 pemain akan menyambung semula pusingan kedua pada pukul 7.40 pagi esok.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain