suria

Sukan Asia: Hoki Lelaki Layak Ke Separuh Akhir, Intai Peluang Ke Sukan Olimpik

GUANGZHOU: Malaysia mengintai peluang layak ke Sukan Olimpik London 2012 apabila berjaya melangkah ke separuh akhir acara hoki lelaki pada Sukan Asia ke-16 di sini.

Malaysia muncul naib juara Kumpulan A selepas mengatasi China 4-2 pada perlawanan akhir kumpulan di Gelanggang Hoki Aoti, Ahad.

Kejayaan menewaskan pasukan tuan rumah itu membolehkan Malaysia mengumpul 10 mata selepas tiga kemenangan dan satu seri, sama seperti juara bertahan Korea Selatan.

Bagaimanapun Korea Selatan menjadi juara kumpulan dengan kelebihan jaringan selepas membelasah Singapura 12-1 bagi melengkapkan jadual kumpulan.

Malaysia akan menentang juara Kumpulan B, India, manakala Korea Selatan pula akan bertemu Pakistan pada saingan separuh akhir Selasa ini.

Pada perlawanan menentang China, Mohamad Amin Rahim meletakkan Malaysia di hadapan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan 1-1 pada minuit ke-13 menerusi Liu Yixian.

Lima minit kemudian Faizal Saari menjaringkan gol padang untuk kedudukan 2-1 bagi Malaysia sehingga tamat babak pertama.

China kembali bertenaga sebaik bermula babak kedua perlawanan untuk menyamakan kedudukan menerusi Na Yubo pada minit ke-36.

Bagaimanapun, Malaysia menyingkirkan China, pemenang pingat perak Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, dari buruan pingat dengan hasil jaringan Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-41 dan Azlan Misron pada minit ke-66.

"Semua pemain bermain bersungguh-sungguh dan terlalu tertekan kerana sebarang kesilapan akan membawa padah," kata jurulatih negara Stephen Van Huizen.

Pasukan juara pada Sukan Asia ini akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2012.

Dalam perlawaan kumpulan B, Pakistan menewaskan Bangladesh 6-1.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Sunderland, Everton Seri 2-2

Artikel Lain