suria

Paralimpiad: Melaka, Perak dan Johor Raih Emas Pertama

MELAKA: Tuan rumah Melaka, Perak dan Johor masing-masing meraih sebutir emas pada hari pertama Sukan Paralimpiad Ke-15 di sini, Ahad. Melaka memperolehi pingat emas dalam acara badminton berpasukan dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-1.

Bagaimanapun Melaka cemas seketika apabila pemain perseorangan kategori upper Ayob Awang tewas mudah kepada pemain Kuala Lumpur, Cheah Like Hou dalam straight set 21-5, 21-5 dalam masa 15 minit.

Melaka menyamaikan kedudukan menerusi pemain kategori lower Bakri Omar yang menewaskan Zaidi Omar 21-7 dan 21-8.

Manakala mata kemenangan Melaka diperolehi menerusi acara beregu Jasmi Tegoh dan Ab Shukor Atan yang menumpaskan Idris Omar/Radhi Ohari 21-16, 21-13.

Perak pula merangkul emas dalam acara badminton perseorangan lelaki kategori BMW3 (wheelchair class 3) menerusi Mazlan Saibon.

Mazlan menewaskan pemain Selangor Zarim Marzki 21-11, 21-16 dalam masa 25 minit pada perlawanan akhir.

Sementara itu, Johor memperolehi pingat emas menerusi acara berbasikal kategori ITT Tandem (Terbuka) apabila pelumba Saiful Izuan Rostam mencatat masa 24 minit 34.21 saat menewaskan rakan sepasukannya Mohd Norhafizan Ahmad Jais.

Mohd Norhafizan memperolehi pingat perak dengan masa 25 minit 18.72 saat manakala Mohd Razif Md Salleh dari Kuala Lumpur memperolehi pingat gangsa dengan catatan masa 26 minit 36.56 saat.

Kejohanan enam hari itu menawarkan 571 pingat emas, perak (571) dan 608 pingat gangsa.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan merasmikan kejohanan itu di Stadium Hang Jebat di sini malam ini.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain