suria

Suzuki M-Seki Liberty Tidak Tertekan

WALAUPUN masih belum mencapai keputusan memuaskan, Suzuki M-Seki Liberty Racing tidak tertekan untuk menyaingi rekod cemerlang jentera Suzuki di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) yang menjadi venue Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada 20 hingga 21 November ini.

Sebaliknya, pengurus pasukan, Chong Kok Ming (gambar) berpendapat adalah lebih realistik jika rekod kemenangan bekas pelumba Suzuki, Mohd Affendi Rosli (Harian Metro SCK Honda Racing) di sini musim lalu (Pusingan 9) menjadi pengukur prestasi mereka, bukan sebagai objektif.

Ini kerana tahun lalu Affendi berlumba dalam kategori Expert menggunakan jentera 130cc manakala tahun ini Suzuki lebih memberi perhatian kepada pembangunan jentera 115cc (CP115).

Chong turut menambah kejayaan Affendi merupakan hasil usaha keras penyelidikan dan pembangunan jentera selama beberapa tahun berbanding pasukan bimbingannya yang bertukar cita rasa dari Yamaha musim ini.

Ketika ini, Sasitharen Sukumaran merupakan pelumba terbaik dari pasukan Suzuki M-Seki Liberty Racing.

Beliau berada di tangga ke-17 dalam kedudukan keseluruhan kelas CP115 diikuti rakan sepasukan Shariffuddin Shamsuddin di tempat ke-18 masing-masing dengan kutipan 17 mata manakala Elly Idzliaikmal Ilias pula di tangga ke-21 (12 mata).

"Seperti mana-mana perlumbaan sebelum ini, kami sentiasa dapat mengetepikan tekanan untuk mencapai keputusan terbaik. Namun, untuk menyamai rekod kemenangan Affendi di Sepang minggu depan adalah tidak logik.

"Ini kerana bukan sahaja kami berlumba di dalam kategori yang berbeza tetapi Affendi merupakan seorang pelumba yang berpengalaman dan dia sudah sebati dengan jentera Suzuki. Tambahan pula, dia mempunyai pasukan yang kuat dan sebelum kemenangan mereka di Sepang tahun lalu, mereka telah menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan selama dua tahun," ujar Chong.

Pengurus pasukan itu mensasarkan untuk melihat anak buahnya menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik dan lebih realistik untuk direalisasikan.

Menurut Chong, selepas Pusingan 8 di Pekan bulan lalu, Sasitharen, Elly dan Shariffuddin rasa lebih yakin dengan jentera masing-masing.

Jadi, ketiga-tiga mereka mempunyai peluang sama rata di Sepang, selagi tidak terlibat dengan sebarang insiden. Sementara itu, pelumba berusia 14 tahun, Md Ramdan Md Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing mendahului carta keseluruhan kelas CP115 dengan catatan 146 mata diikuti pelumba Motul Yamaha YY Pang.

Md Rozaiman Md Said pula menduduki tempat kedua dan rakan sepasukan Md Adli Salihin di tempat ketiga dengan catatan 115 mata dan 108 mata.

Bagi peminat sukan pemotoran, tiket boleh didapati pada harga RM20 bagi dewasa dan kemasukan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah adalah percuma.

Tiket boleh didapati di lokasi-lokasi terpilih iaitu di MAJU MOTOR, Shah Alam (03-55108036), AH HONG MOTOR, Kuala Lumpur (03-40417576), YY PANG RACING MOTOR, Shah Alam (03-51215821), SAFE AIM MUTUAL SDN BHD, Kajang (03-87348787), RACELINE MOTORCYCLE, Petaling Jaya (03-77852400, 77859500), SCK MOTOR, Shah Alam (03-55112594), SHAHROL YUZY MOTOR, Puchong (03-83186062), LIBERTY MOTOR, Puchong (03-8070 2227), ARTREE MOTOR, Petaling Jaya (012-671 9522).

Setiap pembelian tiket bakal menerima baucer Petronas bernilai RM10, buku program Cub Prix dan 1,000 penonton terawal pula akan menerima topi kejuaraan daripada pihak penganjur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain