suria

Skuad Takraw Terbaik Untuk Akhiri Kemarau Emas: Zolkples

KUALA LUMPUR: Malaysia menaruh harapan skuad sepak takraw yang dibentuk selama setahun untuk menggalas cabaran ke Sukan Asia di Guangzhou, China, akan menamatkan kemarau selama 16 tahun untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Datuk Zolkples Embong berkata skuad sepak takraw negara kali ini adalah antara pasukan terbaik yang berjaya dibentuk oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

"Harapan rakyat Malaysia adalah terlalu tinggi untuk melihat kejayaan skuad negara membawa balik pingat emas," katanya kepada pemberita di sini, Selasa selepas meninjau persiapan skuad sepak takraw negara sebelum berangkat ke Guangzhou pada 11 November ini.

Kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas pada Sukan Asia adalah di Hiroshima, Jepun pada 1994.

Zolkples yang juga Ketua Pengarah MSN, berkata Malaysia kali ini hanya akan mengambil bahagian dalam acara berpasukan dan antara regu kerana peluang untuk memperolehi pingat dari acara tersebut lebih cerah.

Beliau berkata skuad sepak takraw negara tidak perlu gentar untuk menghadapi pasukan Thailand dan pesaing lain dalam memburu pingat emas.

"Kita perlu gunakan sebaiknya peluang ini kerana skuad elit Thailand dilihat sedikit goyah apabila mereka menukar beberapa kali pemain barisan utamanya," katanya.

Zolkples berkata dengan kemasukan pemain berpengalaman iaitu regu emas Sukan SEA 2005, Mohd Normanizam Ahmad, Mohd Futra Abdul Ghani dan Mohd Zulkarnain Mohd Arif telah memantapkan lagi barisan skuad negara.

Turut tersenarai dalam 15 pemain yang dipilih untuk mengalas cabaran negara ke Sukan Asia ialah pelibas berpengalaman dua Sukan Asia Busan 2002 dan Doha 2006, Azman Nasruddin.

Jurulatih skuad elit sepak takraw negara, Iskandar Arshad berkata beliau yakin dengan kemampuan anak didiknya yang telah bersedia sepenuhnya untuk mengalas cabaran tersebut.

"Saya harap percaturan yang bakal kita buat nanti akan menjadi memandangkan pasukan elit takraw pada kali ini adalah lebih mantap daripada sebelumnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Jadual Perlawanan Liga Juara-Juara

Artikel Lain