suria

Khairulnizam Galas Dua Beban, Sukan Asia Dan SPM

KUALA LUMPUR: Pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy akan menghadapi dua peristiwa besar dalam hidupnya bulan ini, iaitu Sukan Asia di Guangzhou, China dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pertama kali beraksi dalam Sukan Asia, Khairulnizam, 17, akan mewakili negara dalam kategori laser standard lelaki yang bermula 13 Nov ini.

Beliau dijadualkan pulang ke tanahair pada 22 Nov untuk menghadapi kertas pertama SPM iaitu Bahasa Malaysia pada keesokan harinya.

"Ia seperti dua tanggungjawab besar untuk saya iaitu Sukan Asia dan SPM. Tapi saya akan buat yang terbaik untuk Sukan Asia dan juga akan mengulangkaji pelajaran pada masa lapang di China nanti.

"Saya akan menghubungi kawan-kawan melalui emel untuk mendapatkan soalan ramalan dan tips daripada guru," katanya kepada pemberita semasa Perhimpunan Atlet Fasa Akhir Sukan Asia ke Guangzhou 2010 di Kompleks Sukan Bukit Jalil, di sini, Isnin.

Temasya itu akan berlangsung dari 12 hingga 27 Nov ini.

Pelajar aliran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Langkawi itu baru-baru ini memperolehi keputusan 2A 6B dalam peperiksaan percubaan SPM.

Meskipun sangat berdebar kerana pertama kali mewakili negara dalam temasya besar itu, Khairulnizam berjanji untuk berusaha mendapatkan tempat yang baik.

"Memang pada masa ini saya tidak sasarkan sebarang pingat, tapi jika pada tengah-tengah pelayaran nanti nampaknya seperti boleh (mendapatkan pingat)pastinya saya akan sasar untuk membawa pulang pingat bagi Malaysia," katanya yang dibimbing jurulatih Abdul Rani Idris.

Prestasi anak kelahiran Kedah itu dijangka memberangsangkan memandangkan pencapaian terbaiknya ialah tempat ketujuh dalam Kejohanan Pelayaran Dunia di Scotland Julai lalu.

Selain Khairulnizam, seramai 17 pelayar lain turut mewakili negara ke Guangzhou termasuk kakaknya Khairunnisa, 18, yang akan bertanding dalam kategori International 420 wanita bergandingan dengan Norashikin Mohamad Sayed.

Skuad pelayaran akan bertolak lebih awal ke China iaitu Jumaat ini bagi menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di sana. Sukan pelayaran menyumbang satu emas menerusi Rufina Tan pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain