suria

Kerajaan Kelantan Tak Bantu Bola Sepak Negeri - Shabery

MACHANG: Kerajaan negeri Kelantan tidak pernah membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) daripada segi kewangan dalam mengharungi saingan Piala Malaysia dan Piala Liga Super, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ia jauh berbeza berbanding dengan kerajaan Kedah yang juga di bawah pimpinan Pas yang telah menyumbang RM2 juta setahun kepada persatuan bola sepak negeri itu.

Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Machang di sini malam tadi, Ahmad Shabery berkata apa yang mengejutkan ialah apabila Kelantan berjaya memasuki perlawanan akhir, bendera Pas dinaikkan di stadium bagi mengaburi mata rakyat Kelantan seolah-olah parti itulah yang berusaha menaikkan imej bola sepak Kelantan.

Ahmad Shabery juga membidas kerajaan negeri kerana enggan meluluskan tapak bagi pembinaan gelanggang futsal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri Kelantan.

"Sehingga ini kita hanya berjaya membina 15 daripada 90 gelanggang yang diluluskan kepada Kelantan untuk belia mengadakan kegiatan, itupun sebahagianya dibina di kawasan sekolah yang tapaknya dimiliki kerajaan Persekutuan," katanya.

Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail, berkata bahawa sejak beliau memegang jawatan itu pada tahun 2000, persatuan tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri.

"Malahan Kafa terpaksa mendapatkan punca kewangan daripada pihak lain dengan mencari penaja dan juga memohon bantuan daripada kerajaan pusat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Kelantan bernasib baik kerana memiliki peminat yang ramai dan ada yang sanggup menghulurkan bantuan kepada Kafa demi kemajuan sukan bola sepak negeri.

Namun, menurut Rosmadi, kerajaan negeri pernah menghulurkan ganjaran kepada pemain untuk menunaikan umrah selepas Kelantan berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lepas.

Pada November tahun lepas, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa memohon geran RM2 juta daripada kerajaan negeri untuk pasukan Kelantan beraksi dalam saingan Liga Malaysia tahun ini tetapi sehingga kini persatuan itu dikatakan belum menerimanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Azlan Temui Cinta Baru

Artikel Lain