suria

200 Remaja Sertai Kejohanan Tenis Terbuka Milo

KUALA LUMPUR: Sejumlah 200 remaja termasuk dari Singapura dan India, berusia dari 10 hingga 18 tahun, menyertai Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Milo 2010 yang bermula hari ini di Kompleks Sukan MBPJ Kelana Jaya dekat sini.

Setiausaha Agung Persatuan Tenis Selangor (STA) Tengku Mohamad Tengku Harun berkata kejohanan tahunan itu bertujuan mencungkil bakat baru bagi pasukan tenis Selangor dan skuad kebangsaan.

"Pemain juga bermain untuk membaiki kedudukan ranking kebangsaan mereka," kata Presiden STA Datuk Abdul Malik Mohd Salleh selepas merasmikan kejohanan itu.

Tengku Mohamad, yang juga pengarah kejohanan itu, berkata walaupun ramai pemain utama tidak menyertai pertandingan tahun ini kerana terlibat dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang bermula minggu depan, kejohanan itu tidak hilang kemeriahannya kerana banyak muka baru teruja untuk membuktikan kebolehan mereka dan mencipta nama dalam sukan itu.

Antara pemain yang menyertai kejohanan kali ini adalah pilihan utama Pearljit Singh dari Selangor dan pilihan ketujuh Muhd Raziq Syahmi dari Pahang dalam kategori perseorangan bawah 18 tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain