suria

Benitez Sah Tinggalkan Liverpool

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Rafael Benitez meninggalkan Anfield menerusi persetujuan bersama dengan kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.

Kedudukan beliau dalam kelab tersebut kelihatan goyah selepas perbincangan tentang masa depannya bersama Pengerusi kelab, Martin Broughton dan Pengarah Urusan, Christian Purslow menemui jalan buntu.

Benitez turut dilaporkan gagal mendapat sumber kewangan lebih 50 juta pound (atau RM 239.56 juta) untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain berkualiti.

Media melaporkan beliau hanya memperolehi 15 juta pound (atau RM 71.86 juta) kerana Liverpool gagal layak ke Liga Juara-Juara Eropah. Musim lalu, The Reds sekadar menduduki tempat ketujuh, keputusan yang mengecewakan selepas memenangi trofi terakhir empat tahun lalu.

Dilaporkan Benitez telah menerima tawaran kira-kira 6 juta pound (atau RM 28.73 juta) sebagai bayaran pampasan.

Sebelum ini, Liverpool menawarkan pakej pampasan bernilai tiga juta pound (RM14.4 juta) kepada Pengurus Rafael Benitez untuk meninggalkan kelab itu.

Menurut akhbar The Times dan The Guardian, lembaga pengarah Liverpool sedia mengeluarkan wang itu dengan harapan untuk mengelak bayaran pampasan sebanyak 16 juta pound (RM77.02 juta) kepada Benitez sekiranya dia dipecat.

Pengurus kelahiran Sepanyol itu menandatangani kontrak selama lima tahun dengan The Reds pada Mac 2009.

Benitez menyertai Liverpool pada musim panas 2004 dan pernah mengemudi pasukan itu memenangi trofi Liga Juara-juara Eropah pada musim pertamanya di Anfield.

Liverpool turut menjuarai Piala FA pada 2006 dan mara ke pusingan akhir Liga Juara-juara pada 2007 dan menamatkan aksi Liga Perdana Inggeris musim 2008/2009 di tempat kedua. - AFP

Artikel Lain