suria

Malaysia Bawa Bekal Semangat 1992 Ketika Jumpa China Esok

KUALA LUMPUR: Semangat 1992 ketika Malaysia kali terakhir menjulang Piala Thomas di Stadium Negara di sini, masih membara di hati pemain, kata ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek.

Rashid, anggota skuad 1992 itu, berkata beliau melihat semangat tersebut subur di kalangan pemain terutama dengan kejayaan bangkit kembali daripada kekalahan di peringkat saingan Kumpulan B.

"Begitu juga dengan semangat edisi 2002, ketika Malaysia menewaskan China 3-1 pada separuh-akhir di gelanggang mereka sendiri di Guangzhou, China" katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rashid berkata sokongan penonton yang diperlihatkan ketika Malaysia menewaskan Denmark semalam turut menaikkan semangat anak buahnya.

Abangnya, Misbun, yang juga jurulatih perseorangan negara, percaya kem China kini mula goyah selepas melihat persembahan baik Malaysia semasa menewaskan Denmark semalam.

"Sebelum perlawanan, ramai yang menjangka cabaran Malaysia akan berakhir di peringkat suku-akhir, ketika bertemu Denmark. Tetapi pemain negara telah membuktikan, mereka mampu bangkit kembali dan hanya menunggu perlawanan separuh akhir, esok" katanya.

Pada edisi ini, Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B dengan menang percuma 5-0 ke atas Nigeria, tewas 2-3 kepada Jepun tetapi bangkit semula untuk menewaskan Denmark pada suku akhir.

Pada edisi 1992, Malaysia menjulang piala berprestij itu untuk kali kelima selepas menewaskan Indonesia 3-2.

Sejak kejohanan Piala Thomas diperkenalkan pada 1948, Malaysia telah memenanginya sebanyak lima kali, pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.

Malaysia juga mara ke perlawanan akhir sebanyak 13 kali, kali terakhir pada 2002, di Guangzhou, China.

Pada edisi 2002, Malaysia menewaskan China 3-1 di saingan separuh akhir tetapi tewas 2-3 kepada Indonesia di final.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain