suria

Harapan Skuad Uber ke Separuh Akhir Musnah

KUALA LUMPUR: Harapan Malaysia untuk melangkah ke separuh akhir Piala Uber terhenti apabila tewas 0-3 kepada Indonesia pada aksi suku akhir sebentar tadi.

Pemain perseorangan pilihan pertama negara, Wong Mew Choo yang turun pada aksi pembukaan tirai antara Malaysia dan Indonesia tampak sedikit tertekan serta mempamerkan aksi mengecewakan.

Mew Choo yang dilihat sebagai sandaran negara untuk mengutip mata pertama tewas kepada Adriyanti Firdasari 9-21, 16-21 dalam masa 31 minit.

"Saya minta maaf kerana gagal memberi mata pertama ke negara. Hari ini saya sedikit tertekan. Walaupun permainan saya tidak menjadi, cuba bangkit memberi tentangan tetapi segalanya tidak kena," katanya.

Menurut Mew Choo, dia sudah bersedia untuk bertemu lawan yang pernah ditewaskan pada aksi final Sukan SEA di Laos, tahun lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu menyifatkan Adriyanti bermain dengan lebih baik dan sering memberi tentangan sengit kepada dirinya.

"Mungkin keinginan tinggi untuk mempamerkan persembahan terbaik menjejaskan rentak permainan saya. Saya cuba untuk bermain dengan lebih baik tetapi tangannya mengalami sedikit ketegagan," jelasnya.

Gandingan beregu negara Wong Pei Tty/Chin Eei Hui turut gagal menghadiahkan sebarang mata untuk negara apabila tunduk kepada Greysia Polii/Meilliana Jauhari 24-26, 18-21.

Meskipun berjaya mendahului gandingan mantap dari Indonesia itu buat seketika pada set pertama, Eei Hui mengakui permainan mereka tidak konsisten dan mudah memberi mata kepada lawan.

Mereka pernah bertemu di Kejohanan All England, Mac lalu tetapi tewas kepada gandingan mantap itu pada aksi akhir.

Walaupun tewas, Pei Tty menyifatkan kekalahan mereka bukan disebabkan tekanan memandangkan mereka mengetahui peluang untuk menang 50/50.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita kedua negara, Tee Jing Yee berjaya mempamerkan persembahan menyakinkan meskipun tewas kepada pemenang pingat gangsa pada Olimpik 2008, Maria Kristin Yullianti 19-21,16-21.

Jing Yee mengakui persembahannya kali ini lebih baik berbanding semalam kerana lawannya tidak bermain pada kelajuan sebenar.

"Saya tidak tertekan pada pertemuan ini. Jurulatih ada menasihatkan saya supaya sentiasa memberi tentangan kepada lawan tetapi saya gagal menyekat kemaraannya," katanya.

Pemain kelahiran Pulau Mutiara itu bertemu buat pertama kalinya dengan Maria pada aksi suku akhir ini.

Artikel Lain