suria

Ketiadaan Tonggak Utama Punca Kegagalan Skuad Piala Uber Negara

KUALA LUMPUR: Percaturan yang tidak menjadi serta ketiadaan dua tonggak negara merupakan antara punca kegagalan Malaysia menetapi sasaran ke separuh akhir Piala Uber.

Indonesia menghancurkan matlamat Malaysia itu dengan kemenangan 3-0 pada saingan suku akhir di Stadium Putra di sini semalam.

Ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek berkata misi memungut dua mata pertama disandarkan ke atas pemain perseorangan utama Wong Mew Choo dan beregu nombor empat dunia, Wong Pei Tty/Chin Eei Hi.

"Sekiranya Mew Choo dan beregu itu berjaya mengumpul mata awal, pihak lawan akan tertekan dan ini akan memberi kelebihan pada Malaysia," katanya.

Malangnya, ramalan itu meleset sama sekali apabila Mew Choo tewas 9-21, 16-21 kepada pemain Indonesia Firdasari Adriyanti.

Gandingan Wong dan Chin pula mengalami nasib sama apabila tunduk kepada Greysa Polii/Meiliana Jauhari 24-26, 18-21.

Harapan negara untuk menghidupkan semula peluang menerusi pemain muda Tee Jing Yi, 19, nyata terlalu tinggi apabila dia tewas 19-21, 16-21 kepada pemenang pingat gangsa Sukan Ompilik Beijing, Maria Kristin Yulianti.

Selain itu, ketiadaan pemain veteran Julia Wong dan Lydia Cheah, akibat kecederaan seminggu sebelum kejohanan bermula, turut mempengaruhi prestasi skuad negara.

"Mungkin kalau ada Julia dan Lydia, kita boleh beri lebih saingan lagi. Apapun pemain sudah mencuba yang terbaik, cuma perancangan kita tak menjadi," kata Rashid.

Walaupun gagal mencapai sasaran, Rashid berpendapat secara keseluruhannya prestasi pasukan negara adalah memuaskan.

Terdahulu itu, pasukan negara bermula cemerlang pada saingan peringkat kumpulan apabila mengalahkan Amerika 5-0 sebelum akur dengan kehebatan juara bertahan China dengan kekalahan 0-5.

Prestasi mengecewakan pasukan Piala Uber negara kali ini bagaimanapun tidak melemahkan semangat Rashid, yang tetap optimis dengan masa depan pasukan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain