suria

Persatuan Negeri/Kelab Diberi Masa Sehingga 30 April Untuk Daftar Dengan TM

KOTA BAHARU: Semua persatuan negeri diminta bergabung dengan Taekwondo Malaysia (TM) yang baru ditubuhkan bagi menyelia aktiviti sukan itu di negara ini, kata setiausaha penajanya, Datuk Samson David Maman.

Katanya TM akan melantik sebuah jawatankuasa peringkat negeri jika mana-mana persatuan negeri enggan berdaftar dengan TM, yang menerima pengiktirafan daripada Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF).

Beliau memberitahu Bernama di sini hari ini bahawa semua kelab dan persatuan negeri perlu membuat pendaftaran dengan TM sebelum 30 April ini.

TM ditubuhkan pada 18 Februari lalu bagi menyelesaikan kemelut sukan taekwondo negara berikutan pembatalan pendafatran Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) pada 6 Mei 2005.

Susulan pembatalan itu, dua lagi persatuan Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF) dan Persatuan Kelab Taekwondo Malaysia (MTCA) turut mengalami nasib yang sama.

"Satu perlembagaan baru disusun dengan menitikberatkan kepentingan semasa sukan itu dan mesti dipatuhi oleh persatuan negeri sebagai ahli gabungan," katanya.

Jawatankuasa Penaja TM itu dipengerusikan oleh Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Ja'afar sehingga pemilihan umum pertama bagi melantik penjawat TM diadakan sebelum Jun ini.

Samson berkata setakat ini sembilan persatuan negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan Putrajaya telah menyatakan sokongan kepada TM manakala Kelantan, Terengganu dan Pulau Penang belum memberi keputusan.

"Saya mengalu-alukan supaya semua persatuan negeri membuat pendaftaran lebih awal bagi membolehkan sukan taekwando dapat kembali ke zaman kegemilangannya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain