suria

Tan Fook-Wan Wah Mara, Hafiz Tunduk Pada Lin Dan

KUALA LUMPUR: Regu veteran Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah mara ke suku akhir kejohanan badminton All-England setelah menewaskan Cho Gun Woo dan Kwon Yi Goo dari Korea dalam tiga set di Birmingham, England, malam tadi.

Walaupun kalah set pertama 21-17, pasangan negara itu bangkit semula untuk menang 23-21 dan 21-11 bagi melayakkan diri ke suku akhir Jumaat ini bagi menentang regu ketiga dunia Markis Kido dan Hendra Setiawan dari Indonesia.

Bagaimanapun, pemain perseorangan negara Muhammad Hafiz Hashim yang pernah menjadi juara pada 2003, tunduk kepada kehebatan Lin Dan dari China 21-14, 21-18.

Lin Dan, pilihan kedua, menang dalam masa 38 minit.

Pemain lain dari Malaysia yang layak ke suku akhir ialah pilihan pertama perseorangan Datuk Lee Chong Wei dan regu lelaki Gan Teik Chai dan Tan Bin Shen.

Chong Wei akan bertemu Shon Wan Ho dari Korea manakala pasangan Gan dan Tan akan berdepan Lars Paaske dan Jonas Rasmussen dari Denmark. - BERNAMA

Artikel Lain