suria

Fairuzizuan/ Zakry Tertekan

JOHOR BAHARU: Beregu negara Mohd Fairuzizuan Tazari dan Zakry Mohd Latiff menghadapi kemungkinan tersingkir awal daripada Kejohanan Badminton Siri Super Masters Akhir di sini selepas tumpas kepada pasangan Cina pada perlawanan kedua kumpulan A hari ini.

Kekalahan kepada beregu Xu Chen dan Guo Zhendong 1821, 1721 telah meletakkan beregu negara itu dalam situasi tertekan.

Turut mengalami nasib yang tidak menentu ialah juara bertahan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang tewas kepada Fairuzizuan dan Zakry pada perlawanan pembukaan semalam.

Kien Keat dan Boon Heong akan menentang beregu nombor tiga Indonesia Rian Sukmawan dan Yonathan Suryatama lewat hari ini dan jika mereka tewas, maka cabaran mereka untuk mempertahankan kejuaraan boleh dianggap sudah berakhir.

Beregu negara itu akan mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan menentang pasangan Cina itu esok sementara gandingan Fairuzizuan dan Zakry akan menamatkan jadual perlawanan kumpulan dengan bertemu pasangan Indonesia itu. "Kami masih mempunyai peluang jika berjaya mengatasi pasangan Indonesia esok. Kini kami berdepan dalam keadaan tertekan.

"Tetapi mengimbas kembali, kami seharusnya menewaskan pasangan Cina itu tetapi terlalu ghairah untuk mencapai kemenangan dan ini menyebabkan kami melakukan banyak kesilapan," kata Zakry.

Dalam pada itu, pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan telah layak ke saingan separuh akhir acara perseorangan lelaki selepas mencapai kemenangan kedua dalam kumpulan setelah mengalahkan pemain Denmark Peter Gade 21-12, 7-21, 21-15.

Pemain Thailand Boonsak Ponsana, yang tewas kepada Sung Hwan semalam, bagaimanapun menhidupkan peluang ke peringkat seterusnya apabila menewaskan pemain Denmark Jan Jorgensen 21-9, 21-18.

Boonsak akan menentang Gade esok bagi menentukan tempat ke separuh akhir.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain