suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Saya perlu hormati maruah undang-undang” - Polis Thailand pertahan tindakan saman 9 peserta konvoi Malaysia di Hat Yai

Sarjan Mejar Polis Weerasak Phansalaeman (beruniform) bersama penunggang motosikal Malaysia bergambar sambil menunjukkan saman trafik yang diterima di Balai Polis Hat Yai pada Isnin.

PENGALAMAN percutian dengan menunggang motosikal di Hat Yai pastinya hambar apabila sekumpulan penunggang dari Malaysia berdepan tindakan tegas pihak berkuasa Thailand kerana melanggar undang-undang jalan raya di negara berkenaan.

Ekoran kejadian itu, seorang pegawai polis Thailand tampil mempertahankan tindakannya mengeluarkan saman terhadap kumpulan terbabit selepas seorang pempengaruh media sosial menggesa orang ramai supaya memboikot negara gajah putih itu.

Polis Sarjan Mejar Weerasak Phansalaeman berkata, tindakan saman ke atas kumpulan berkenaan dibuat mengikut lunas undang-undang selepas pemeriksaan mendapati beberapa motosikal yang ditunggang mereka diubah suai secara tidak sah.

Menurutnya, dia mengarahkan 17 motosikal yang ditunggang pelancong Malaysia untuk berhenti bagi pemeriksaan sebelum sembilan daripada mereka dikenakan saman atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan dikesan termasuk pengubahsuaian motosikal yang menyalahi undang-undang, menghasilkan bunyi terlalu kuat serta menunggang tanpa lesen memandu antarabangsa yang dikeluarkan Malaysia.

Kesemua saman berjumlah 12,000 baht (kira-kira RM1,500) dan urusan pembayaran diselesaikan di Balai Polis Hat Yai pada Isnin.

Tindakan itu menjadi perhatian selepas seorang penunggang yang menggunakan nama Tok Singa di media sosial memuat naik hantaran menggesa pengikutnya memboikot Thailand kerana tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut.

Dia mendakwa mereka terpaksa menghabiskan hampir tiga jam untuk urusan berkenaan kerana hanya seorang pegawai mengendalikan pemeriksaan.

Bagaimanapun, Weerasak tampil berkongsi video di Facebook yang menunjukkan suasana ketika pemeriksaan, termasuk perbualan antara dia dan kumpulan penunggang terbabit yang dilihat berlangsung tanpa pertengkaran.

Malah, mereka turut bergambar dan merakam video bersama pegawai berkenaan sebelum bersurai.

Weerasak berkata, dia memahami kepentingan sektor pelancongan kepada Thailand, namun tetap perlu menjalankan tanggungjawabnya untuk memastikan undang-undang dipatuhi.

"Saya perlu menghormati kebenaran dan maruah undang-undang," katanya.

Malaysia merupakan antara penyumbang terbesar pelancong ke Thailand, dengan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia berkunjung ke negara itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. -Agensi

Artikel Lain