suria

Pemain Malaysia Pertahankan Gelaran Pada Kejohanan Remaja Asia

PETALING JAYA:Dua pemain remaja negara, Andrian Ang dan Sin Ji Jane, akan mempertahankan gelaran masingmasing pada Kejohanan Boling Antarabangsa Remaja All Stars ke10 di Pyramid Mega Lanes, Bandar Sunway, di sini mulai 9 hingga 19 Disember ini.

Andrian akan memburu gelaran buat kali keempat selepas menjuarai pada tahun 2003, 2007 dan 2008 manakala Sin akan mempertahankan gelaran wanita yang dimenanginya tahun lepas.

"Kejohanan ini hanya bagi pemain di bawah 23 tahun dan merupakan kejohanan paling berprestij dan lumayan di Asia," kata setiausaha agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Sidney Tung pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain jumlah hadiah wang tunai RM100,000, pemain yang berjaya melakukan balingan sempurna pertama pada peringkat akhir akan menerima wang tunai RM50,000 manakala RM1,000 ditawarkan kepada pemain yang berjaya melakukan balingan sempurna setiap hari.

Sidney berkata seramai 600 pemain dari Australia, Taiwan, Hong Kong, Belanda, India, Indonesia, Filipina, Arab Saudi, Singapura, Thailand, Vietnam dan tuan rumah Malaysia dijangka mengambil bahagian pada edisi kali ini.

Sempena kejohanan tahunan itu, katanya, sebuah pertandingan "All Stars Classic" akan diadakan bagi bekas juara dengan hadiah utama wang tunai RM30,000 bagi juara, naib juara RM15,000 dan RM10,000 kepada pemain di tempat ketiga. - BERNAMA

Artikel Berikut

Fairuzizuan/ Zakry Tertekan

Artikel Lain