suria

Isu Pengurus Bola Sepak Selangor: Zakaria Terkejut Dan Bingung

SHAH ALAM: Bekas pengurus bola sepak Selangor Zakaria Ab Rahim melahirkan rasa terkejut dan bingung dengan pengumuman berhubung status jawatannya sebagai pengurus pasukan itu sejak 2008.

Zakaria berkata setakat hari ini beliau belum menerima sebarang hitam putih berhubung status jawatannya itu dan hanya diberitahu melalui panggilan telefon oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAs) Datuk Mokhtar Ahmad dan media hari ini.

"Saya memerlukan penjelasan berhubung situasi ini, saya masih bingung dan mahu berjumpa dengan Presiden FAS Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tetapi hari ini beliau sibuk dengan mesyuarat exco," katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata apapun keputusan oleh FAS akan diterima namun memerlukan penjelasan berhubung tindakan pertukaran tugasannya memandangkan mengikut kontrak beliau masih pengurus pasukan yang dikenali sebagai Red Giants.

Mengikut rekod, Zakaria merupakan pengurus bola sepak sepenuh masa yang pertama di Malaysia dan mempunyai kontrak selama dua tahun sehingga penghujung Mei 2010 bersama pasukan yang menjuarai Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu.

Zakaria berkata beliau yakin telah memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) selaku pengurus negeri itu apabila Selangor muncul naib juara piala FA dan Piala Malaysia pada 2008 serta muncul juara tiga piala iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada musim ini.

"Saya memang bingung sebab FAS ini banyak kejutan macam Akademi Fantasia," katanya.

Mengulas lanjut berhubung status jawatannya itu, Zakaria berkata beberapa pemain turut menelefon bertanyakan kedudukan sebenar serta memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepadanya.

"Mereka ada telefon begitu juga keluarga minta saya bersabar, saya sendiri sentiasa bersedia dan menyedari risiko yang mungkin dihadapi sejak saya bersetuju menerima jawatan selaku pengurus pasukan," katanya.

Beliau berkata bermula hari ini beliau tidak lagi turun ke padang latihan kerana berpendapat isu itu perlu diperjelaskan dulu.

Ditanya kemampuan K.Devan selaku pengurus dan dalam masa sama memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pasukan Selangor, Zakaria enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata, "Saya yang mengambilnya sebagai jurulatih kerana yakin kemampuannya".

Pada masa yang sama, Zakaria berkata sekiranya ditakdirkan beliau tidak lagi menjadi pengurus pasukan itu, perancangannya untuk membawa Selangor sehingga layak ke peringkat akhir Piala AFC 2010 akan hanya sekadar tinggal perancangan.

Media hari ini melaporkan Zakaria bukan lagi pengurus pasukan bola sepak Selangor kerana mulai musim 2010 beliau diberikan tanggungjawab baru iaitu mempromosikan FAS serta mencari sebanyak mungkin penaja baru untuk badan induk berkenaan.

Mokhtar ketika sidang akhbar selepas mesyuarat di Wisma FAS semalam berkata, mereka mengambil keputusan melantik Devan menggantikan tempat Zakaria. BERNAMA

Artikel Sebelum

Fairuzizuan/ Zakry Tertekan

Artikel Berikut

Artikel Lain