suria

12 Pasukan Mulakan Cabaran Piala Monsun

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 12 pasukan memulakan cabaran pada hari pertama kejohanan kapal layar Piala Monsun di perairan Pulau Duyung di sini hari ini, yang merupakan sirkit terakhir dalam Jelajah World Match Racing (WMRT).

Perlumbaan yang dimulakan tepat 12 tengah hari dalam keadaan cuaca mendung dengan kelajuan angin 15 knot, ternyata menguji pengalaman dan kemahiran setiap pelayar untuk mengemudi kapal masing-masing ditambah dengan keadaan musim tengkujuh yang melanda Terengganu sekarang.

Pelayar dan pasukan yang bersaing dalam kejohanan kali ini ialah Ian Williams dari Team Pindar (Britain), Sebastien Col dari All 4 One (Perancis), Mathieu Richard dari French Match Racing Team (Perancis), Adam Minorprio dari Black Match Racing (New Zealand), Torvar Mirsky dari Mirsky Racing Team(Australia), Magnus Holmberg dari Victory Challenge (Sweden).

Selain itu Bean Ainsle dari Team Origin 2 (Britain) dan Datuk Peter Gilmour dari Yanmar Racing Team (Australia) yang merupakan penyandang juara kejohanan kapal layar Piala Monsun 2008 turut beraksi dalam kejohanan kali ini, yang kelima diadakan di Pulau Duyong sejak 2005.

Empat pasukan dan pelayar baru turut mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini iaitu Damien Iehl dari French Match Racing Team (Perancis), Phil Robertson dari Waka Racing (New Zealand), Francesco Bruni dari Team Azzura (Itali) dan satu-satunya wakil negara Hazwan Hazim dari pasukan Taring Pelangi.

Pada sebelah petang ini, turut diadakan majlis perasmian Kejohanan Piala Monsun 2009 di Dewan Pameran RiYaz Heritage Marina Resort & Spa dengan disempurnakan oleh Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ismail.

Majlis perasmian dimulakan dengan perarakan masuk Trofi Piala Monsun dan Piala Kristal World Match Racing Tour (WMRT) ke dalam dewan oleh tujuh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diikuti 12 pasukan yang mengambil bahagian.

Acara perasmian yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Zaabar Mohd Adib disempurnakan dengan simbolik acara menaikkan layar di atas pentas oleh Tengku Sri Laksamana.

Sejurus selepas acara perasmian tiga lagi perlumbaan dijalankan.

Pertandingan diadakan secara round robin dengan konsep 'satu lawan satu dan mata dikira berdasarkan kepantasan untuk sampai ke garisan penamat.

Sementara itu, pelayar negara Hazwan berkata perlumbaan pada hari ini amat mencabar ditambah lagi pesaing mereka merupakan pasukan-pasukan yang telah berpengalaman dalam sukan tersebut.

"Memang mencabar... sebagai pasukan baru memang agak sukar untuk bersaing dengan mereka. Namun ia memberi pengalaman baru kepada saya serta rakan-rakan sepasukan yang lain," katanya yang pernah menggangotai pasukan pelayar wanita Nurul Ain Md Isa dalam kejohanan Piala Monsun tahun lepas.

Dalam perlumbaan hari ini, pasukan Taring Pelangi yang diketuai Hazwan gagal mengutip sebarang markah apabila tewas dalam pusingan round robin menentang Minoprio, Gilmour, Col dan Holmberg. BERNAMA

Artikel Sebelum

Fairuzizuan/ Zakry Tertekan

Artikel Berikut

Artikel Lain