suria

Sutz Dan Vodickova Ungguli Kejohanan Malakoff Powerman 2009

LUMUT: Atlet duathlon, Andy Sutz dari Switzerland dan atlet Republik Czech, Radka Vodickova masing-masing menjuarai kategori elit lelaki dan wanita pada Kejohanan Malakoff Powerman 2009 di Seri Manjung, di sini, semalam.

Sutz, 28, menamatkan perlumbaan dalam jangka masa dua jam, 45 minit 47 saat untuk meraih wang tunai US$5,000 (RM17,036).

"Saya dicabar untuk menyertai kejohanan ini oleh juara musim lepas Bryce Viegas yang turut beraksi kali ini dan terpaksa bertarung dalam keadaan cuaca yang amat panas," katanya.

Juara bertahan Viegas, dari Afrika Selatan, menduduki tempat kedua dengan catatan masa 2:51.0s dan membawa pulang hadiah wang tunai US$3,000 (RM10,221).

Tempat ketiga dimenangi oleh Jason Spong, juga dari Afrika Selatan, dengan catatan masa 2:54.36s dan membawa pulang hadiah wang tunai US$1,200 (RM4,088).

Atlet duathlon terbaik negara, Shahrom Abdullah, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tempat keenam, setelah menamatkan saingan dalam masa 3:04.22s.

Dalam kategori elit wanita, Vodickova, 24, berjaya mengatasi lawannya dengan catatan masa 3:08.55s diikuti tempat kedua oleh atlet Sweden, Camilla Lindholm (3:11.11s) dan tempat ketiga oleh Caroline Koll dari Afrika Selatan dengan masa 3:16.12s.

"Ini adalah penyertaan sulung dan tidak menjangka untuk menjuarainya," katanya.

Kejohanan itu meliputi acara larian dan berbasikal dala, tiga kategori iaitu individu, lumba bergantiganti dan pecut.

Kategori elit dan lumba berganti-ganti (bagi dua atau tiga peserta) meliputi larian sejauh 11km, berbasikal sejauh 64km dan 10km sementara kategori pecut ialah larian 5.5km diikuti berbasikal 32km dan larian 5km.

Kejohanan ini juga merupakan satu-satunya acara penentu kelayakan di Asia untuk menyertai kejohanan dunia di Zofingen, Switzerland, tahun depan.

Sementara itu, Pengerusi Malakof Corporation Berhad, Tan Sri Abdul Halim Ali, berkata pihaknya akan terus menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan di sini.

KEPUTUSAN:

Lelaki: Elit

1. Andy Sutz (Switzerland) 2:45.47s 2. Bryce Viegas (Afrika Selatan) 2:51.08s 3. Jason Spong (AfriKa Selatan) 02:54.36s

Pecut:

1. Michael Dohse (Jerman) 1:42.46s 2. Jeroni Perello Bisanez (Sepanyol) 1:43.12s 3. Muhammad Mukhlis Alias (Malaysia) 1:44.24s

Lumba berganti-ganti (Berkumpulan):

1. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 3:26.26s 2. MKH Cycling (Malaysia) 3:29.38s 3. Rodjana (Malaysia) 3:31.46s

Wanita: Elit

1. Radka Vodickova (Republik Czech) 3:08.55s 2. Camilla Lindholm (Sweden) 3:11.11s 3. Caroline Koll (Afrika Selatan) 3:16.12s

Pecut:

1. Christina Liew (Australia) 1:53.29s 2. Ng Sun Nee (Malaysia) 1:58.28s 3. Christina Ledig (Singapura) 1:59.28s

Campuran:

Lumba berganti-ganti (Berkumpulan) 1. Lompat Katak (Malaysia) 3:42.42s 2. Airborne (Malaysia) 3:44.33s 2. Rainbow Runner (Malaysia) 3:45.02s BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain