suria

Enam pelumba negara berentap di Kejohanan Lebuhraya ACC 2009

PUTRAJAYA: Enam pelumba kebangsaan akan bersaing dalam dua acara lebuhraya di Kejohanan Berbasikal Asia ke-29 di Kalimantan, Indonesia, dari 15 hingga 20 Ogos ini.

Anuar Manan, Suhardi Hassan, Wan Mohammed Najmee Wan Mohammed, Hafiz Rosli dijangka menyertai acara 160 kilometer lepas beramairamai manakala Ng Yong Li dan Mohd Rauf Misbah di dalam acara 20 kilometer ujian masa.

Jurulatih lebuhraya kebangsaan, Jamaluddin Omar berkata keputusan itu dibuat dua hari lepas dan harapan disandarkan kepada Suhardi untuk merebut empat tempat terbaik.

"Selain seorang pelumba yang matang, Suhardi mempunyai pengalaman yang mencukupi serta berkebolehan untuk menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan perlumbaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui sasaran itu sukar kerana cabaran sengit yang akan dihadapi daripada pelumba negara lain seperti Iran, Uzbekistan, Jepun, Korea Selatan dan China.

"Cuma apa yang saya harapkan Suhardi akan mampu untuk menjarakkan diri daripada kelompok pelumbapelumba yang ramai jika berpeluang sekaligus mencerahkan peluang untuk mendapat kedudukan terbaik," katanya.

Beliau berkata mereka akan berlepas ke Indonesia pada 12 Ogos dan tidak dapat melakukan latihan bersama kerana Anuar bersama pasukannya, Azad University yang bertanding di Tour of East Java, Indonesia yang akan bermula esok.

Sementara itu Suhardi berkata beliau akan cuba memenangi satu pingat untuk negara kerana ia merupakan penyertaan keempatnya dalam kejohanan itu sejak tahun 2000.

Sebelum ini, Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah menyenaraikan beberapa nama untuk kategori trek bagi menyertai kejohanan itu seperti Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Rizal Tisin dan Haffiz Sufian untuk bersaing dalam acara keirin, satu kilometer ujian masa, pecut berpasukan dan 200 meter pecut. BERNAMA

Artikel Lain