suria

Bola Sepak Liga Super: Terengganu belasah Pulau Pinang 4-1

KUALA TERENGGANU: Terengganu membelasah Pulau Pinang 4-1 pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini semalam.

Terengganu mempamerkan persembahan cukup mantap malam ini apabila mampu menumpaskan pasukan pelawat walaupun terpaksa bermain dengan 10 orang apabila pemain pertahanannya Hariri Mohd Safii dilayangkan kad merah pada minit ke-61 selepas mengasari pemain lawan.

Pemain sayap kiri Md Ashaari Shamsuddin menjadi hero malam tadi apabila berjaya membuat hattrick untuk pasukan Terengganu.

Bagaimanapun pasukan tuan rumah dikejutkan pasukan lawan seawal minit ke-5 apabila rembatan Mohd Failee Md Ghazali membolosi gawang Terengganu selepas berlaku pergelutan di hadapan pintu gol.

Terengganu yang menurunkan ramai pemain simpanan bagaimanapun tidak patah semangat, malah terus melancarkan serangan balas dan akhirnya mereka berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-25.

Pemain pertahanan Mohd Shazlan Alias menjaringkan gol itu selepas mendapat umpanan daripada Ismail Faruqi Ashaari.

Md Ashaari Shamsuddin kemudian mengukuhkan kedudukan apabila berjaya menggelecek tiga pertahanan Pulau Pinang sebelum melepaskan rembatan kencang menawaskan penjaga gol Pulau Pinang Md Faizal Mde Yusoff di minit ke-50.

Kira-kira 23 minit kemudian, Md Ashaari menjaringkan gol ketiga, dan gol keempat pula muncul empat minit kemudian melalui tendangan penalti.

Penjaga gol Pulau Pinang dilihat mempamerkan persembahan yang cukup mantap apabila berjaya menafikan beberapa cubaan cantik pasukan Terangganu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain