suria

India Persiapkan Diri Anjur Hoki Piala Dunia 2010

NEW DELHI: India akhirnya berjaya meyakinkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menjadi tuan rumah penganjuran Hoki Piala Hoki 2010 pada Mac di sini walaupun Presiden FIH Leandro Negre masih gusar dengan persiapan berkenaan.

Pergolakan dalaman di kalangan penggiat sukan hoki India, pertelingkahan penajaan dan kelewatan pembinaan stadium menjadikan isu Hoki Piala Dunia ke-12 panas beberapa bulan lepas.

FIH sendiri pernah mengancam untuk menarik balik penganjuran oleh New Delhi dan meletakkan Malaysia bersiap sedia menjadi tuan rumah bagi kejohanan hoki utama itu.

"Tiada kebimbangan lagi sekarang. Telah banyak kemajuan dalam tempoh enam bulan lepas tetapi saya perlu melihat stadium itu esok untuk melihat perkembangan terkini. Dan saya mahu pemilihan demokratik (bagi memilih pemegang jawatan)," kata Negre kepada pemberita di sini.

Hari ini, FIH dan Hero Honda Motors Ltd, sebuah syarikat pengeluar kenderaan, menjadi penaja rasmi bagi kejohanan tahun depan.

"India merupakan anggota penting dalam keluarga besar FIH. Demi kemajuan pembangunan hoki dunia, adalah penting bagi hoki India untuk bangkit dan menunjukkan potensi sebenarnya.

"FIH berharap penganjuran Piala Dunia 2010 akan memberi semangat tinggi kepada hoki India," kata Negre.

India hanya sekali memenangi Piala Dunia iaitu pada 1975 di Kuala Lumpur dan ini merupakan kali kedua negara itu menjadi tuan rumah kejohanan yang diadakan pada setiap empat tahun.

Kali terakhir India menganjurkan kejohanan itu pada 1982 di Mumbai. BERNAMA

Artikel Lain