suria

Qabil lepasi langkah pertama pada Fei Piala Dunia Liga SEA

KUALA LUMPUR: Penunggang kuda negara Qabil Ambak mengorak langkah ke pusingan akhir FEI Piala Dunia di Gothenburg, Sweden, setelah memenangi siri pertama pusingan kelayakan Liga SEA di Pusat 3Q Ekuestrian, Kuang, Selangor, semalam.

Qabil, yang menunggang kuda 'Amadeus Van Boswinning', menjadi satusatunya pelumba daripada 10 pelumba, yang melepasi halangan dalam masa 90.61 saat tanpa sebarang mata penalti untuk menjuarai gelaran.

"Saya bangga dengan persembahan kuda saya kerana memenangi siri pertama adalah sentiasa penting kerana ia meningkatkan keyakinan. Saya harap untuk meneruskan persembahan seperti itu pada siri seterusnya.

"Kuda saya yang lain, Ursula, juga menampilkan persembahan baik hari ini memandangkan ia masih belum pulih dari kecederaan," kata Qabil, yang kuda pilihannya 'Parvina' sekali lagi mengalami kecederaan.

Tahun lepas, 'Parvina' juga mengalami kecederaan dan tidak dapat bertanding pada dua siri pertama kelayakan sebelum kembali untuk memenangi siri ketiga dalam persaingan 'jump off' dengan menewaskan Helena Gabrielson dari Sweden dan abangnya Quzier.

Di samping itu, Qabil turut menjuarai acara 'Medium Dressage Test 4.3 dan 'Prix St George' semalam.

Jennifer Chang dari Hong Kong, kembali aktif selepas melahirkan anak lelaki empat bulan lepas, menduduki tempat kedua selepas menamatkan rutinnya dengan masa 99.52 saat dan memungut enam mata penalti.

Beliau, yang menunggang kuda 'Luxor 91', berkata pusat ekuestrian itu adalah lebih padat dan halangannya untuk kelayakan FEI Piala Dunia adalah lebih tinggi serta lebih kompetitif.

Sementara itu, Pengiran Mohd Nasir dari Brunei, menduduki tangga ketiga dengan menunggang kuda milik adiknya 'Arcadian'.

Dalam pada itu, pelumba muda Mohd Faiz Hanuar dengan kuda 'Khalif' menamatkan rutin tanpa sebarang kecacatan untuk memenangi siri Penunggang Muda SEA dengan masa 78.18 saat.

Shazna Leena, anak perempuan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique, menduduki tempat kedua dengan masa 85.61 saat dan empat mata penalti, diikuti Pengiran Mohd Raffiee dari Brunei dengan masa 91.03 saat dan empat mata penalti.

Pusingan akhir FEI Piala Dunia akan diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat, April depan.

KEPUTUSAN:

FEI PIALA DUNIA LIGA SEA: 1. Qabil Ambak (MAs) 'Amadeus Van Boswinning' 90.61s; 2. Jennifer Chang (HKG) 'Luxor 91' (6 mata penalti) 99.52s; 3. Pengiran Mohd Nasir (BRU) 'Arcadian' (8 mata penalti) 89.93s.

PENUNGGANG MUDA SIRI SEA: 1. Mohd Faiz Hanuar (MAs) 'Khalif' 78.18s; 2. Shazna Leena (MAs) 'Helu De Codarde' (4 mata penalti) 85.61s; 3. Pengiran Mohd Rafiee (BRU) 'Fiera Cavlli' (4 mata penalti) 91.03s. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain