suria

Venue dan kemudahan sukan Sea di Laos diuji

KUALA LUMPUR: Laos, tuan rumah Sukan Sea ke-25 dari 9 hingga 18 Disember ini, akan mula menguji venue dan kemudahan bulan depan untuk memastikan kesemuanya memenuhi standard.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dr Phouthong Seng Akom, yang juga Presiden Jawatankuasa Sukan Kebangsaan Laos berkata bagi tujuan itu Jawatankuasa Penganjuran Sukan Sea Laos (Laosoc) akan menganjurkan beberapa kejohanan termasuk yang bertaraf antarabangsa.

Stadium utama yang boleh memuatkan 20,000 penonton hampir siap manakala venue lain dijadual siap menjelang September, katanya dalam laman web rasmi Sukan Sea Laos hari ini.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sedikit kelewatan dalam pembinaan lapang sasar bagi acara menembak disebabkan masalah dalam penyerahan beberapa peralatan.

Sukan Sea Laos melibatkan 386 acara dalam 25 jenis sukan. Ini merupakan Sukan Sea yang pertama dianjurkan oleh Laos. BERNAMA

Artikel Lain