suria

Najib rasmi YAKEB dan umum dana RM3 juta bagi jaga kebajikan atlet

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian dana sebanyak RM3 juta untuk Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsan (YAKEB) untuk membela kebajikan atlet negara.

"Atlet aktif atau bersara yang mengharumkan negara memerlukan perhatian dan perbelaan supaya mereka tidak terpinggir seperti mana sebelum ini.

"YAKEB sedang berusaha bersungguhsungguh untuk membantu dan menguruskan kebajikan atlet kebangsaan ini," katanya pada majlis pelancaran yayasan itu di sini malam tadi.

Bertetapan dengan konsep 1Malaysia yang mementingkan kebersamaan dan semangat kesukanan, Najib berkata: "Dalam sukan tidak ada perkara seperti halangan bersifat perkauman. Atlet ini mewakili dan menyumbang kepada negara. Jadi, mereka perlu dibantu."

Penaung YAKEB Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, yang juga isteri Perdana Menteri, berkata matlamat utama YAKEB adalah untuk meringankan beban atlet dan membantu menguruskan kebajikan mereka.

Rosmah juga berkata pihak pengurusan YAKEb, yang diketuai pengerusi eksekutifnya Datuk Paduka Dr Mumtaz Jaafar, telah merangka beberapa perancangan komprehensif.

Ini termasuk Pelan Skim Insuran Perlindungan Kemalangan dan Perubatan dan Hospital Berkelompok untuk bekas atlet negara sehingga usia 69 tahun, Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Berkelompok Untuk Bekas Atlet berumur 70 tahun ke atas.

"YAKEB juga akan memperkenalkan Program Bantuan Kecemasan Khas secara tahunan. Sebagai usaha membantu mewujudkan golongan usahawan dari kalangan atlet negara, YAKEB akan memggerakkan penubuhan Koperasi Atlet Malaysia Berhad," katanya.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil. BERNAMA

Artikel Lain