suria

Kategori atlet negara ke sukan SEA ditentukan esok

KUALA LUMPUR: Status kategori 600 atlet negara yang akan menyertai Sukan SEA di Laos, Disember depan akan diputuskan esok, kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi.

MOM akan membuat keputusan itu selepas mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan sukan kebangsaan dan Majlis Sukan Negara (MSN) esok untuk menentukan status kategori setiap atlet yang dihantar ke temasya sukan itu yang akan berlangsung pada 9 hingga 18 Dis, katanya kepada Bernama hari ini.

Kebiasaannya, atlet ke temasya sukan dwitahunan itu diletakkan di bawah kategori A dan B.

Atlet kategori A ialah mereka yang melepasi syarat penyertaan secara merit manakala kategori B pula ialah atlet yang tidak melepasi syarat tersebut dan persatuan akan menanggung perbelanjaan mereka ke temasya itu.

Tetapi jika atlet kategori B berjaya mendapatkan pingat, sekurang-kurangnya perak, MOM akan membayar kembali sebahagian daripada perbelanjaan tersebut.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam 20 acara pada temasya di Laos iaitu akuatik, memanah, olahraga, badminton, biliard dan snuker, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karatedo, pencak silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wushu.

Sementara itu, Sieh berkata MOM hari ini memutuskan semua atlet yang menyertai Sukan Dalam Dewan Asia Ketiga di Hanoi pada 30 Okt hingga 8 Nov sebagai kategori B.

"Pihak persatuan telah bersetuju untuk menanggung sendiri kos penyertaan mereka di sana nanti," katanya.

Beliau berkata kejohanan sukan tersebut diletakkan dalam kategori B kerana penganjuran sukan itu tidak bersifat kompetitif dan tidak menetapi tahap yang telah ditetapkan oleh MOM dan MSN.

MOM telah meluluskan penyertaan seramai 100 atlet untuk mengambil bahagian dalam lapan acara iaitu Hoop Sepak Takraw, Timbang Bulu Ayam, Kabadi, Futsal, Bola Keranjang 3 on 3, Pencak Silat, Tarian Naga dan Petanque, katanya. BERNAMA

Artikel Lain