suria

Filem kutip RM30 juta, bonus mana? “Jangan bising dulu! Saya pun tak dapat” - Penerbit Paskal

Jasmine, Henley Hii dan Hairul Azreen antara pelakon filem Paskal yang mencatatkan kutipan sebanyak RM30 juta.

SEJAK beberapa hari lalu kecoh sesama pelakon Paskal The Movie mengenai isu bonus dan bayaran tambahan yang dijanjikan namun sehingga kini masih belum nampak bayang.

Isu itu meletus apabila beberapa pelakon utamanya membanjiri posting aktres Jasmine Suraya Chin di Instagram dengan bertanyakan secara sarkastik mengenai isu berkenaan selepas lebih setahun filem itu ditayangkan di pawagam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada bonus pun tak apa, dapat watak utama pun dah gembira - Hairul Azreen

Susulan itu mStar mendapatkan penjelasan penerbit dan pengarah filem pecah panggung berkenaan, Adrian Teh bagi mengetahui situasi sebenar. Mana bonus yang dijanjikan?

Menurut Adrian, 35, pihak produksi Asia Tropical Films menyedari mengenai kelewatan bayaran itu namun memaklumkan mereka sedang dalam proses pembayaran secara berperingkat mengikut keutamaan.

Instagram Jasmine dibanjiri komen para pelakon Paskal.

Justeru dia berharap barisan pelakon dapat bersabar menunggu bayaran bonus yang akan diberi dalam masa terdekat seperti dijanjikan.

"Saya sendiri pun belum terima bayaran bonus itu. Harap semua dapat bersabar dan jangan risau sebab bayaran itu akan diberikan dalam masa terdekat ini sahaja.

"Pihak kami sudah melakukan persiapan untuk bonus itu sejak awal lagi tapi proses pembayaran itu dilakukan secara berperingkat mengikut keutamaan.

Barisan pelakon Paskal membangkitkan mengenai isu bayaran bonus.

"Sebab itulah ia mengambil masa yang agak lama. Tapi memang semua pelakon akan menerima bayaran itu," kata Adrian ketika dihubungi mStar pada Khamis.

Paskal yang mengangkat kisah unit pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) arahan Adrian yang juga debut sulung pengarah itu dalam sinema Melayu mencatatkan kutipan sebanyak RM30 juta.

Adrian (tengah) menjelaskan bayaran bonus akan diberikan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Adrian memberitahu dia membuka ruangan chat group di aplikasi WhatsApp bagi menjelaskan mengenai situasi itu kepada semua pelakon selepas menyedari isu tersebut hangat diperkatakan.

"Saya sedar mengenai komen-komen mereka itu dan terus buat group WhatsApp yang ada semua pelakon. Saya jelaskan dan semuanya sudah selesai.

"Tapi saya nak tegaskan yang bayaran itu akan diberikan dalam masa terdekat bukan disebabkan isu dah kecoh," ujarnya.

Artikel Lain