suria

‘Avengers: Endgame’ bukan pengakhiran tetapi bermulanya derap langkah baharu Marvel

3.Filem Avengers: Endgame yang kini menjadi filem nombor satu di dunia dengan pelbagai rekod baharu dicipta.

Filem: Avengers: Endgame

Pengarah: Anthony Russo & Joe Russo

Pelakon: Robert Downey Jr., Chris Evans, Scarlett Johansson, Chris Hemsworth, Mark Ruffalo, Jeremy Renner, Don Cheadle, Paul Rudd, Brie Larson, Karen Gillan dan Josh Brolin

Genre: Aksi/Sains Fiksyen

Durasi: 181 minit

Pengedar: Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan: 24 April 2019

Nebula yang dilakonkan Karen Gillan (kiri) dan Rhodey atau War Machine (Don Cheadle) dalam satu babak filem Avengers: Endgame.

PENULIS tidak malu untuk mengakui bahawa perlu sabar menunggu hampir seminggu untuk menonton filem Avengers: Endgame yang memulakan tayangannya di negara ini bermula 24 April lalu.

Bahkan, penulis menahan diri daripada membaca mana-mana ulasan tentang filem blokbuster mega itu kerana tidak mahu merosakkan keseronokan dan keterujaan menyaksikannya.

Apatah lagi dari awal lagi sudah dikhabarkan bahawa akan ada watak penting yang akan ditamatkan riwayat mereka kali ini, lebih membuatkan penulis untuk terus tidak mencari nahas dan terus sabar menanti.

Walaupun mungkin tanggapan segelintir pihak bahawa sesiapa yang tidak menonton Avengers: Endgame atau ringkasannya, Endgame pada hari pertama dilihat sebagai ketinggalan, namun, perkara itu tidak mengganggu penulis.

Malah, perkara itu dapat menggandakan lagi keghairahan untuk terus menonton Endgame dengan memilih tayangan yang dapat memberikan keselesaan buat penulis dalam menghayati karya yang cukup dinanti-nantikan itu.

Rasa seperti baru semalam penulis mengulas filem Avengers: Infinity War yang ditayangkan setahun lalu dan tibalah giliran Endgame menjadi naskhah penutup untuk dekad pertama Marvel Studios menerusi jenama Marvel Cinematic Universe (MCU).

Sudah pun namanya filem blokbuster mega, ternyata Endgame telah memberikan kepuasan paling maksimum kepada penulis dan menyifatkannya sebagai karya yang berjaya melengkapkan tiga fasa pertama MCU sebelum melangkah ke fasa baharu kelak.

Selama tiga jam berada di dalam panggung, tidak terbit perasaan resah gelisah sebaliknya penulis melihat perjalanan Endgame sebagai sebuah cerita yang bergerak dengan lancar dengan lakon layar cukup menyakinkan.

Hasil gandingan dua penulis, Christopher Markus dan Stephen McFeely yang juga menghasilkan lakon layar Avengers: Infinity War ternyata telah memberikan impak yang hebat kali ini.

Setiap watak diceritakan menerusi dalam babak dan cerita masing-masing tanpa membuatkan penonton berasa canggung mahupun berkerut dahi sambil menggaru kepala untuk memahami apa yang berlaku.

Salah satu babak filem Avengers: Endgame.

Disebabkan itu jugalah, untuk menonton Endgame, seseorang itu amat digalakkan untuk menonton kesemua filem MCU untuk mendapat gambaran lebih luas tentang keseluruhan cerita agar mudah difahami.

Menyedari bahawa Endgame akan menjadi sebuah naskhah terakhir untuk dekad pertama MCU, Markus dan McFeely serta pengarahnya, Joe dan Anthony Russo telah menzahirkan impian peminat MCU untuk menyaksikan Endgame sebagai sebuah persembahan yang gilang-gemilang.

Ini dapat disaksikan bagaimana enam watak utama dalam penubuhan awal The Avengers iaitu Iron Man, Captain America, Thor, Black Widow, Hulk dan Hawkeye diberikan momen-momen penting untuk mereka menyerlah agar kemunculan mereka terus diingati.

Tidak hanya mempertaruhkan babak-babak aksi tetapi Endgame disuntik dengan elemen humor terutama watak Thor (lakonan Chris Hemsworth) yang berubah personaliti dan fizikalnya untuk mengimbangi perjalanan filem ini agar tidak terlalu stres menontonnya.

Meskipun Endgame sebuah filem komersial yang sememangnya ditakrifkan sebagai wacana hiburan semata tetapi apa yang menjadi Endgame cukup istimewa kali ini adalah pengisiannya yang cukup positif.

Rujukan tersebut amat jelas kelihatan pada watak Iron Man, Captain America dan Thor apabila masing-masing seolah-olah diberikan peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan yang pada hemat mereka tidak wajar dilepaskan begitu sahaja.

Elemen kasih sayang dan percintaan terhadap insan-insan tersayang amat jelas pada babak-babak yang melibatkan tiga watak ini terutama Captain America atau nama sebenarnya, Steve Rogers (Chris Evans).

Pengorbanan Rogers sebagai askar dan adiwira telah membuatkan dirinya terpaksa melepaskan keinginannya yang mahu sehidup semati dengan wanita yang paling dicintainya iaitui Margaret Carter atau Peggy (Hayley Atwell).

Namun, menerusi Endgame, penonton dapat melihat bagaimana akhirnya dia dapat menebus kembali apa yang telah tertinggal demi untuk mencapai kebahagiaan hakiki yang cukup diingininya selama ini.

Begitu juga dengan babak Tony Stark atau alter egonya, Iron Man (Robert Downey Jr.) yang berpeluang menjalani kehidupan berumah tangga bersama Pepper Pots (Gwyneth Paltrow) dan anak mereka, Morgan (Lexi Rabe) tetapi dalam masa yang sama sedar akan tanggungjawab yang perlu diselesaikan.

Penulis juga sukakan bagaimana momen pertemuan Tony dan bapanya, Howard Stark (John Slattery) apabila dia kembali ke zaman silam dan memperbetulkan apa yang sepatutnya antara mereka dalam ruang masa yang cukup singkat.

Begitu juga dengan Thor yang mendapat kata-kata azimat daripada bondanya, Frigga (Rene Russo) yang mendorong Thor membuat keputusan yang boleh dianggap mengejutkan pada babak akhir Endgame.

Pastinya babak yang penulis anggap antara yang cukup meninggalkan kesan apabila Natasha Romanoff atau Black Widow (Scarlett Johansson) dan Clint Barton atau Hawkeye (Jeremy Renner) masing-masing berebut mahu berkorban atas nama kemanusiaan yang akhirnya membawa kepada episod penuh duka.

Babak melibatkan watak Black Widow (Scarlett Johansson) dan Hawkeye (Jeremy Renner) beri interpretasi hubungan mereka.

Disebabkan itu seperti mana yang penulis katakan, setiap babak dan watak yang dizahirkan dalam Endgame memiliki momen tersendiri untuk penonton kenang dan ingati. Apatah lagi, ia membabitkan enam watak utama The Avengers yang bermula dari awal hingga akhir.

Perjalanan naik turun Endgame yang penuh emosi akhirnya membawa kepada kemuncak apabila babak pertarungan bersama Thanos (Josh Brolin) dengan kesemua watak adiwira yang pernah muncul dalam 21 filem MCU sebelum ini yang dianggap sebagai babak paling sempurna.

Kemunculan mereka itu berjaya membuatkan penulis meremang bulu roma dan babak penuh impak itu seolah-olah menaiki roller-coaster untuk sama-sama merasai pengalaman tersebut.

Tidak keterlaluan dikatakan, babak tersebut antara momen terbaik dalam sejarah sinema Hollywood yang telah mencipta klimaks sehingga memberikan kepuasan yang tidak terhingga.

Lebih membuatkan penulis cukup teruja adalah menyaksikan gabungan watak-watak adiwira wanita yang bersatu memerangi musuh di dalam satu babak yang membuktikan dan menjadi perlambangan bahawa wanita tidak seharusnya lagi dipandang enteng.

Kesempurnaan Endgame juga terletak kepada keberkesanan teknik suntingan dan sinematografi selain efek visual yang telah melengkapkan naskhah ini menjadi salah sebuah filem terbaik untuk 2019.

Cumanya, penulis melihat kemunculan Carol Danvers atau Captain Marvel (Brie Larson) dalam Endgame sebagai canggung kerana ia kelihatan tidak kena untuk keseluruhan cerita ini.

Apatah lagi Captain Marvel dilabelkan sebagai adiwira paling berkuasa dan mampu membunuh Thanos sekelip mata tetapi perkara itu tidak berlaku. Sementelah dia juga tidak berada pada situasi genting di bumi membuatkan kehadirannya seolah-olah sekadar mahu melengkapkan syarat.

Barangkali kemunculan Captain Marvel masih baru dan belum mampu untuk membuatkan peminat menyesuaikan diri dengan kehadirannya jika hendak dibandingkan dengan watak-watak MCU sebelum ini yang sudah sebati selama sedekad.

Dengan berakhirnya saga ini, persoalan seterusnya untuk semua peminat Marvel adalah apakah yang akan berlaku selepas ini? Masih terlalu awal untuk menelah apa yang telah dirangka oleh Marvel Studios.

Tetapi dengan beberapa buah filem yang sudah disahkan untuk fasa keempat, maka, penulis dapat melihat derap langkah Marvel kini makin kemas dan yakin.

Apatah lagi dengan filem-filem baharu seperti The Eternals, Shang-Chi, filem-filem sekuel kepada Doctor Strange, Black Panther, Captain Marvel, Guardians of the Galaxy, Ant-Man dan Thor memberikan indikasi bahawa fasa keempat akan menjadi lebih besar.

Semua persoalan akan terjawab tentang fasa seterusnya dalam MCU selepas filem Spider-Man: Far From Home ditayangkan Julai nanti.

*** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017, kategori Kritikan Filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Avengers: Endgame, Marvel

Artikel Lain