Tanpa ragu, ‘Homestay: Permainan Maut’ filem terburuk 2019 - Wayang | mStar

Tanpa ragu, ‘Homestay: Permainan Maut’ filem terburuk 2019

Poster filem Homestay: Permainan Maut yang menjadi perdebatan warganet di laman sosial apabila penghasilannya dikatakan memplagiat poster filem antarabangsa. – Foto www.sukafilem.net

Filem: Homestay: Permainan Maut

Pengarah: Kayshan

Pelakon: Asward Naslim, Iswadi, Zahanis Yaakob, Aien, Kimi, Danish, Md. Afifi, Ahmad Azeem Anuarudin, Sri Priya, Kayshan, Sofea Shaheera dan Ruminah Sidek

Genre: Seram

Durasi: 100 minit

Pengedar: SB Production Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 18 April 2019

SETIAP kali menonton filem yang teruk dan buruk, soalan pertama yang menerjah minda penulis adalah apakah sebenarnya yang mahu diperjuangkan oleh penerbit dan pengarah filem tersebut?

Apakah mereka dari kelompok kaya-raya sehingga wang yang dimiliki melimpah ruah lalu dilaburkan untuk membikin filem walaupun tiada pengalaman berbuat demikian?

Atau adakah penglibatan mereka ini hanyalah sekadar mahu memeriahkan sinema tempatan yang belum mampu berdiri dengan megah ini dengan karya-karya bertaraf cetek dan kosong pengisiannya?

Bukan itu sahaja, apakah mereka ini benar-benar ikhlas dan jujur dalam menghasilkan karya sedemikian rupa hanya semata-mata mahu mengaut keuntungan walaupun zahirnya apa yang dipersembahkan itu tidak layak diangkat sebagai sebuah filem?

Dua daripada pelakon yang membintangi filem Homestay: Permainan Maut iaitu Ahmad Azeem Anuarudin (kiri) dan Sofea Shaheera. – Foto Instagram Ahmad Azeem Anuarudin (@ahmadazeemanuarudin)

Lebih malang apabila dalam beberapa bulan sahaja lagi sebelum kita melangkah ke dekad baharu, masih ada karya-karya yang teruk dan tidak boleh diterima akal masih lagi dihasilkan oleh mereka yang cetek pengetahuan dalam penerbitan filem.

Luahan penulis ini adalah merujuk kepada sebuah lagi filem tempatan yang ditayangkan minggu lalu berjudul Homestay: Permainan Maut atau ringkasnya, Homestay yang telah membuatkan penulis tidak dapat menyembunyikan perasaan marah dan terkilan.

Jika tahun lalu penulis meletakkan dua buah filem iaitu Mahaguru dan Badang sebagai karya terburuk, tanpa ragu, tahun ini, kedudukan pertamanya menjadi milik filem Homestay dan diikuti dengan filem Felina yang ditayangkan bulan Januari lalu.

Penulis hilang kata-kata selepas menonton filem Homestay yang serba-serbinya lemah dan teruk sehingga penulis berasa lemas di dalam panggung menontonnya.

Seperti lazimnya, penulis tidak mahu terlalu terpengaruh dengan apa yang disebarkan di alam maya berhubung filem ini walaupun kemudiannya penulis mendapat tahu penghasilan posternya yang dikatakan meniru sebuah filem antarabangsa.

Malah, penulis mengambil pendekatan untuk menonton Homestay dengan minda dan hati yang terbuka meskipun hati penulis terdetik bahawa hasilnya akan mengecewakan.

Ternyata detak hati penulis tidak silap kerana sememangnya Homestay sebuah karya yang langsung tidak membanggakan dan penulis sendiri tidak tahu bagaimana penerbitnya, SB Production tergamak membazirkan wang untuk filem ini.

Dari satu aspek, penulis tidak menafikan bahawa tajuknya berupaya mencuri perhatian dan secara kasarnya sudah mampu untuk membuatkan penulis mengagak perjalanan filem ini.

Kelemahan paling utama untuk filem Homestay adalah terletak kepada naratif dan lakon layarnya yang lemah terutama skrip dan dialog umpama seperti idea pelajar sekolah rendah untuk menghasilkan projek filem mereka.

Penulis langsung tidak menolak inisiatif SB Production untuk menghasilkan sebuah filem komersial dengan mempertaruhkan genre seram kerana ia adalah jalan mudah untuk memancing audiens ke pawagam.

Tetapi masalahnya di sini adalah mengapa ia tidak dilakukan dengan teliti dan diperhalusi pembikinannya?

Untuk mengenengahkan tema seram yang berlegar di premis sebuah homestay atau inapan keluarga itu boleh diterima akal memandangkan lokasi tersebut adalah sesuatu yang boleh dikira sebagai relevan dengan masyarakat hari ini.

Barisan pelakon dan kru penerbitan filem yang terlibat dalam penghasilan filem Homestay: Permainan Maut. 

– Foto Facebook SB Production Sdn. Bhd.

Namun, apabila ia meletakkan permainan yang seringkali dikaitkan dengan dunia mistik dan seram iaitu spirit of the coin, ia menjadi begitu canggung dan tidak kena dengan apa yang cuba hendak disampaikan.

Apatah lagi, punca kepada permasalahan permainan itu sendiri tidak menyakinkan dan belum cukup kuat rencah seramnya untuk membuatkan audiens turut merasai pengalaman tersebut.

Disebabkan kelemahan lakon layar, maka, yang selebihnya terutama aspek teknikal filem Homestay turut terjejas dan telah memberikan pengalaman penontonan yang cukup merengsakan.

Penulis juga tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkan kelemahan sinematografi dan suntingan filem ini kerana hasilnya memang teruk dan tidak memiliki nilai estetika yang diperlukan oleh sebuah filem seram.

Lebih mengejutkan penulis apabila pengarah sinematografi untuk filem Homestay ini bukan dikendalikan oleh seorang tetapi tiga orang pengarah yang membuatkan penulis berasa terkesima seketika.

Jika sudah menggunakan khidmat Saliu Ibrahim, Vimal dan Sharvesh untuk mengemudikan sinematografi filem ini, sudah pasti hasilnya haruslah berada pada tahap yang sewajarnya dibanggakan.

Tetapi, ia langsung tidak menampakkan hasil kerja yang dilakukan oleh tiga orang tetapi seperti seorang amatur yang baru hendak menjinak-jinakkan diri untuk menggunakan kamera video.

Percayalah, hasil kerja pelajar jurusan perfileman berkali-kali ganda jauh lebih cemerlang daripada apa yang telah dipersembahkan dalam filem Homestay.

Malah, aspek kesan khasnya juga hanya layak untuk dijadikan bahan jenaka dan tidak kena dengan naratifnya.

Apa yang membuatkan penulis cukup rimas adalah barisan pelakonnya yang kesemuanya tidak layak untuk digelar anak seni kerana masing-masing memberikan persembahan yang teramat mengecewakan.

Dari awal filem ini dibuka, hasil lakonan yang dipersembahkan sudah membuatkan penulis tersenyum sinis sehinggalah kepada kumpulan pelajar yang kononnya menjadi tunggak utama kepada filem ini.

Sudahlah bilangannya terlalu ramai lalu menjadikan filem ini terlalu padat sehingga sesak nafas melihatnya dengan karakter masing-masing yang kesemuanya seperti kebudak-budakan walhal mereka adalah pelajar kolej.

Aksi para pelakon filem Homestay: Permainan Maut sewaktu di lokasi penggambaran. – Foto Facebook SB Production Sdn. Bhd.

Apakah para pelakon filem Homestay ini sedar bahawa pembikinan sebuah filem cereka bukanlah satu perkara main-main dan wajar dianggap serius?

Jika begitulah hasil lakonan mereka yang langsung tidak menampakkan keseriusan masing-masing untuk menjadi pelakon sejati, maka, bidang lakonan bukan untuk kalian.

Secara puratanya, kesemua mereka yang mempunyai watak dalam filem ini tidak layak untuk digelar pelakon kerana setiap seorang daripada mereka benar-benar membuatkan penulis rimas dengan persembahan lemah masing-masing.

Persembahan pelakon yang paling membuatkan penulis berasa jelik adalah Ahmad Azeem Anuarudin yang dari awal hingga tamat seperti memperbodohkan dirinya sendiri.

Sudahlah dialognya hampir setiap masa dalam bahasa Inggeris yang kedengaran cukup kaku dan begitu dibuat-buat dengan bahasa yang begitu formal.

Ditambah pula dengan kualiti lakonannya yang menjengkilkan membuatkan penulis tertanya-tanya mengapa dia sanggup melibatkan diri dalam filem sebegini.

Paling menyedihkan adalah penglibatan pelakon veteran yang juga bekas pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 (2008), Ruminah Sidek yang kehadirannya umpama dipergunakan sahaja tanpa sebarang impak.

Disebabkan itu penulis meluahkan persoalan di awal artikel ini berhubung tindakan penerbit filem Homestay ini menerbitkan karya yang tidak membanggakan ini.

Di akhirnya, kesemua yang terlibat terkena tempias negatif yang secara tidak langsung membuatkan sinema tempatan yang sukar hendak bernafas ini terus dipandang serong.

Filem Homestay: Permainan Maut diletakkan di tangga pertama sebagai filem terburuk 2019 setakat ini. – Foto SB Production Sdn. Bhd.

Sudah menjadi resmi dalam mana-mana lanskap sinema di dunia ini bahawa keseimbangan karya itu perlu ada.

Ia adalah simbiosis buat penggemar filem kerana citarasa setiap individu adalah berbeza-beza dan tidak semuanya sukakan mahupun terikat dengan satu-satu jenis filem sahaja.

Tetapi, seperti mana yang pernah penulis katakan sebelum ini, bikinlah sesebuah filem itu dengan penuh rasa hormat meskipun ia adalah sebuah karya komersial dan tujuannya untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Sayangnya dalam konteks Homestay: Permainan Maut ini, ia tidak menepati kriteria untuk mana-mana filem sekalipun kerana ia akan terus hilang dan lenyap ditelan masa.

*** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017, kategori Kritikan Filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Homestay: Permainan Maut

Artikel Lain