suria

Infini Sebuah Karya 'Janji Kosong'

Antara adegan dalam 'Infini'.
FILEM: INFINI

PENGARAH: Shane Abbess

GENRE: Sci-Fi

DURASI: 111 minit

PENERBIT: Storm Vision Entertainment

TARIKH TAYANGAN: 7 Mei 2015

PELAKON: Daniel MacPherson, Grace Huang dan Luke Hemsworth

MELIHAT kepada poster dan juga trailer filem ini, saya percaya ia akan menjadi sebuah filem box-office yang akan mengegarkan pawagam di seluruh Malaysia yang ditayangkan bermula pada 7 Mei lalu.

Namun apabila menonton sendiri filem bergenre Sci-Fi ini, terbukti anggapan saya salah kerana tidak disangka filem yang bagaikan hebat di awal pandangan ini hanyalah janji kosong dan boleh dikatakan membuang masa.

Mungkin agak kasar memberi respons sedemikian tetapi itulah realitinya apabila saya meluangkan masa selama 111minit untuk cerita yang kurang kemas dari segi penceritaan dan tiada penyerapan nilai-nilai murni.

Apabila disebut filem genre sains fiksyen, penonton akan mengharapkan sebuah filem yang sarat dengan elemen teknologi dan alam semesta tetapi menerusi INFINI, ia hanya memaparkan pasukan penyelamat khas yang cuba menyelamat seorang lelaki di angkasa biologi.

mStar Default Image

Jika dilihat pada permulaan cerita, filem ini agak mendebarkan kerana pasukan di angkasa biologi diserang secara tiba-tiba tanpa mengetahui punca sebenar sehinggakan keseluruhan anggota mati di tempat kejadian kecuali Whit Carmichael lakonan Daniel MacPherson.

Whit berjaya menyelamatkan diri kerana dia menggunakan peralatan khas yang membolehkannya menghilangkan diri seketika dan penggunaan gadget tersebut berjaya menyelamatkan nyawanya.

Selepas itu, sebuah pasukan penyelamat khas yang dipilih telah bergegas ke lokasi tersebut bagi menyelamatkan Whit dan konflik penceritaan berlaku disitu sehingga membuat penonton berasa bosan kerana tiada perkembangan plot untuk mengukuhkan cerita.

Secara mudah, apabila pasukan Whit diserang di awal penceritaan, pasukan penyelamat khas dilantik untuk membantunya lalu pengakhiran cerita berakhir begitu sahaja selepas misi mereka berjaya.

Klimaks filem ini berlaku sewaktu pasukan penyelamat khas mempunyai perselisihan faham dengan Whit dan mereka mengambil masa yang lama untuk mennyelamatkan lelaki tersebut.

mStar Default Image

Seperti yang saya katakan filem ini agak menghampakan kerana pengarah juga menggunakan tiga lokasi sahaja dan hanya bermain dengan posisi kamera bagi menunjukkan kelainan sudut tetapi teknik tersebut pantas mewujudkan rasa bosan kerana penonton dihidangkan dengan pengulangan lokasi.

Selain itu, filem ini boleh dikatakan mengandungi terlalu banyak babak halusinasi dan khayalan di mana watak-watak yang diwujudkan seperti terkena virus yang menganggu minda sehingga membuatkan mereka hilang kewarasan.

Walaupun serangan tiba-tiba itu mampu membunuh sesetengah individu tetapi Whit selaku peranan utama berjaya mengawal serangan tersebut namun dilihat seolah menghidapi penyakit schizophrenia yang kurang menjadi.

Secara keseluruhan, pada pandangan saya, filem ini gagal menepati cita rasa dan jika nak dibandingkan dengan filem genre sci-fi yang lain seperti Interstellar dan Armageddon, ia ternyata jauh berbeza.
Infini

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain