suria

Ombak Rindu Penuh Emosi

Ombak Rindu sudah pun menemui peminat di pawagam sejak 1 Disember lalu.
Ombak Rindu sudah pun menemui peminat di pawagam sejak 1 Disember lalu.
Ombak Rindu sudah pun menemui peminat di pawagam sejak 1 Disember lalu.

FILEM: Ombak Rindu

PENGARAH: Osman Ali

LAKONAN: Aaron Aziz, Maya Karin, Lisa Surihani, Bront Palarae

GENRE: Drama

DURASI: 2 jam

TAYANGAN: 1 Disember 2011

APABILA berita mengenai novel popular terbitan Alaf 21, Ombak Rindu karya Fauziah Ashaari akan diterbitkan sebagai sebuah filem, ramai yang menyatakan rasa teruja untuk menonton hasilnya.

Ombak Rindu mengisahkan tentang perjalanan cinta dua insan iaitu Izzah dan Hariz dari dua dunia yang berbeza, bertemu, lalu jatuh cinta, merentasi halangan yang tidak terhingga, saling memperjuangkan cinta mereka, hingga ke akhirnya hayat telah menyentuh ramai hati pembaca.

Jadi tidak hairan apabila novel ini telah menjadi begitu popular satu ketika dahulu mengatasi karya-karya lain sedia ada.

Berpeluang membaca dan menonton sendiri hasil filem tersebut yang diadaptasi ke layar perak oleh pengarah terkenal, Osman Ali, boleh dikatakan dia telah melunaskan satu tugas yang baik.

Aspek teknikal filem tersebut digarap dengan kemas tanpa cacat cela ketara di samping lakonan mantap daripada para pelakon hebat di dalam Ombak Rindu menjadikan ia sebuah filem yang harus ditonton.

Osman berjaya menterjemah jalan cerita dan konfliknya yang melankolik dengan kisah perjalanan hidup dan percintaan yang disulam dengan emosi serta tragis dengan begitu baik sehinggakan ada yang menitiskan air mata ketika menonton.

Ditambah dengan kekuatan sinematografi bagi menunjangi aspek naratif dan dramatiknya memberikan lebih emosi ketika menonton.

Cuma sejujurnya, ia barangkali akan susah diterima oleh penonton yang tidak pernah membaca novel tersebut kerana mungkin tidak dapat memahami jalan ceritanya dengan jelas.

Ia adalah kesan daripada banyak plotnya dimampatkan untuk memenuhi durasi selama dua jam filem itu selain beberapa bahagian cerita asal ditukar bagi mengikut kesesuaian semasa.

Disebabkan itu juga, penulis asal tidak berpuas hati dengan hasil akhir filem itu kerana merasakan banyak perkara penting dalam novel itu tidak dimasukkan.

Barangkali Ombak Rindu yang diangkat oleh Osman ini akan jadi lebih kuat jika dia menggunakan Fauziah sebagai penulis skrip bersama berbanding menggunakan khidmat penulis skrip dari Indonesia, Armantono.

Skripnya sedikit longgar dan tidak begitu memberi impak mendalam seperti mana ketika membaca novel tersebut.

Bagaimanapun ia bakal dinikmati dan disukai oleh peminat setia novel itu kerana boleh menangkap kesinambungan perjalanan ceritanya daripada satu plot ke plot yang lain.

Ombak Rindu mengisahkan tentang sedih gadis bernama Izzah yang telah dijual oleh bapa saudaranya kepada tauke kelab malam akibat banyak berhutang telah membawanya ke dalam neraka dunia.

Diselamatkan oleh Hariz dan berkahwin dengan lelaki itu telah membawa pelbagai kisah sedih kepada Izzah mengharungi pelbagai cabaran sekaligus ia mengusik perasaan pembaca.

Air Mata Aaron Aziz, Wajah Kampung Maya Karin

Daripada aspek lakonan, pujian harus diberikan kepada semua barisan pelakon yang menjayakan Ombak Rindu.

Kesemua mereka memberikan persembahan terbaik terutama tunjang utama filem itu, Aaron Aziz dan Maya Karin.

Barangkali melalui filem ini kita dapat menyaksikan Aaron banyak mengeluarkan air mata menerusi wataknya sebagai Hariz yang cukup menyentuh perasaan sehingga meninggalkan kesan kepada penonton.

Walaupun Aaron mengakui tidak langsung membaca novel tersebut untuk mendapatkan ‘feel’ sebagai Hariz tetapi dia berjaya menghidupkan wataknya dengan dinamik.

Tidak ketinggalan Maya Karin, pesona jelita dan wajah pan-asian yang dimiliki berjaya diubah kepada seorang gadis kampung bertudung yang naif.

Malah daripada segi aspek lakonan, pelakon yang pernah memenangi anugerah Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke 49 di Fukuoka, Japan pada 2004 tidak mengecewakan.

Maya kelihatan benar-benar mendalami watak Izzah dan usahanya mendapatkan khidmat pelakon terkenal, Elly Suriati untuk menjadi gadis Melayu tulen nyata berbaloi.

Tidak terkejut jika Maya akan dicalonkan sekali lagi dalam kategori Pelakon Terbaik dalam anugerah besar di negara ini pada tahun hadapan.

Gandingan antara Maya dan Aaron juga mempunyai jalinan dan gandingan mereka tampak cukup serasi di samping kehadiran nama-nama besar lain seperti Lisa Surihani, Bront Palarae, Normah Damanhuri dan lain-lain.

Artikel Sebelum

'New Year’s Eve' Serba Sederhana

Artikel Berikut

Fantasi 'MJL' Suntik Kelainan

Artikel Lain