suria

'Spy Kids 4' Gagal Menyerlah Dengan 4D

Jessica Alba sebagai bekas perisik bernama Marissa Cortez Wilson dalam Spy Kids 4
Jessica Alba sebagai bekas perisik bernama Marissa Cortez Wilson dalam Spy Kids 4
Jessica Alba sebagai bekas perisik bernama Marissa Cortez Wilson dalam Spy Kids 4

BAGI kalangan penonton yang pernah dikecewakan dengan filem Spy Kids 3-D: Game Over (2003) sebelum ini, kemunculan bahagian keempat francais Spy Kids selepas lapan tahun gagal meninggalkan impak yang diharapkan.

Bahkan tidak salah untuk mengatakan filem arahan Robert Rodriguez dengan judul Spy Kids: All The Time In The World (Spy Kids 4) pada kali ini hanyalah sebuah manipulasi yang dipersembahkan atas nama sebuah filem semata-mata.

Jelas sekali bahagian keempat ini yang kononnya dibikin dengan aplikasi teknologi visual dan audio empat dimensi (4D) tidak mampu menyerlahkan sebuah karya yang sememangnya rapuh dan goyah pada sudut skrip dan plotnya.

Justeru, jika format 4D yang disogokkan itu diketepikan, filem ini hanyalah sebuah ceritera yang lemah dan basi.

Kecelaruan yang dikongsi oleh produksi filem ini bermula dengan perkembangan plot dan skrip yang lemah. Ia disulami pula persembahan lakonan yang menyedihkan, sekali gus melengkapkan kerapuhan Spy Kids 4.

Kita sedia maklum filem ini sememangnya dihasilkan untuk tontonan seisi keluarga. Maka, setiap perincian dan konsep yang diketengahkan adalah ringan dan santai.

Pun begitu, mengapa begini jadinya pada bahagian terakhir ini? Berdasarkan apa yang dipaparkan itu, Rodriguez yang dihormati sebagai antara pengarah berkarisma di Hollywood bagai sudah hilang taring dan magisnya.

Lebih menjelekkan lagi apabila menonton lakonan yang lemah daripada empat tunggak utama filem ini.

Aksi Jessica Alba sebagai si ibu bernama Marissa Wilson, Joel McHale (Wilbur Wilson), Rowan Blanchard (Rebecca Wilson) dan Mason Cook (Cecil Wilson) sudah memadai untuk membunuh sepenuhnya Spy Kids 4.

Untuk kesekian kalinya juga, pengalaman menonton lakonan Alba itu terus menyesakkan dada. Lantas, ia mengundang persepsi betapa beruntungnya aktres itu kerana terus bernafas dalam lingkungan atmosfera Hollywood dengan mutu lakonan sebegitu.

Sayang sekali, jika keseimbangan dapat diseragamkan dalam filem ini, Spy Kids 4 boleh menjadi sebuah filem keluarga yang baik pada cerita, mesej dan aplikasi teknologinya.

Menyentuh soal teknologi 4D, jujurnya tiada efek ekstra atau luar biasa yang mengagumkan. Mungkin, ada sedikit pembaharuan tetapi ia pada tahap sederhana tetapi bersesuaian memandangkan filem ini disasarkan untuk tontonan keluarga khasnya kanak-kanak.

Oleh itu, kesederhanaan yang diterapkan dalam babak-babak aksi, cemas dan pertarungan itu masih boleh diterima biarpun ia kelihatan janggal pada mata penonton dewasa.

Bagaimanapun, kalangan pengikut francais ini atau yang meminati filem ringan tanpa perlu berfikir masih boleh menikmati Spy Kids 4 seadanya.

Sekalipun pengenalan format 4D itu tidak membawa makna ekstravaganza, sekurang-kurangnya penonton dapat merasai sebuah pengalaman baru menonton wayang.

Ringkasnya, Spy Kids 4 berkisar pada kisah Marissa Cortez Wilson (Jessica Alba) yang memiliki segala-galanya. Pada mata kasar, kehidupannya lengkap dan bahagia di samping suami yang juga seorang wartawan televisyen popular, anak tiri kembar yang pintar dan seorang bayi yang baru lahir.

Namun, secara realitinya, Marissa berdepan dilema kerana kesulitannya untuk membesarkan dua anak tirinya yang tidak menerima kehadirannya sebagai ibu baru mereka.

Dan, suaminya Wilbur (Joel McHale) juga tidak mengetahui bahawa dirinya adalah ejen perisik yang sudah bersara.

Situasi menjadi kacau-bilau dan tegang selepas kemunculan Timekeeper (Jeremy Piven) yang mengancam untuk merampas dan menakluki planet bumi sehingga memaksa Marissa dipanggil bertugas semula oleh ejen perisikan OSS untuk menyelamatkan keadaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain