suria

'RPA' Filem Beruk Terbaik

Aksi Freida Pinto (kiri) dan James Franco dalam Rise of The Planet of The Apes.
Aksi Freida Pinto (kiri) dan James Franco dalam Rise of The Planet of The Apes.
Aksi Freida Pinto (kiri) dan James Franco dalam Rise of The Planet of The Apes.

MEMANG tidak silap untuk meletakkan filem terbaru Rise of The Planet of The Apes (RPA) pada kedudukan yang tertinggi dalam kategori filem yang bertemakan kisah beruk atau mawas.

Berdasarkan plot dan nilai hiburan yang dihidangkan dalam durasi 1 jam 45 minit, penangan RPA bukan sembarangan.

Malah, RPA memang lebih baik daripada filem klasik Planet of the Apes (1968) atau versi 2001 yang juga menggunakan judul yang sama lakonan aktor Mark Wahlberg.

Ironinya, seperti yang dijelaskan oleh pengarahnya Rupert Wyatt, filem ini bukan sekuel mana-mana versi Apes yang pernah diterbitkan dan langsung tiada kena-mengena di antara satu sama lain.

Justeru, RPA wajar diterima seadanya sebagai sebuah karya tunggal yang berdiri dengan sendiri.

Bagai satu kembara yang lengkap dengan cerita dan emosinya, filem ini diwarnai sebuah penceritaan yang penuh teruja dan teka-teki.

Bagi pendekatan itu, pujian wajar diberikan kepada dua penulis skrip filem ini iaitu Rick Jaffa & Amanda Silver kerana penghasilan skrip yang bijak, misteri dan kompleks.

Dijalin kemas pula dengan persembahan lakonan yang memberangsangkan, RPA tambah menarik dengan aksi bintang-bintang utama termasuk James Franco sebagai Will Rodman, Andy Serkis (Caesar) dan John Lithgow (Charles Rodman).

Bintang dari India yang mula membina nama menerusi filem Slumdog Millionaire iaitu Freida Pinto (Caroline Aranha) juga dilihat tidak mengecewakan dalam filem ini.

Bagai melengkapi hidangan, teknikal yang diaplikasikan dalam RPA juga hampir sempurna secara kolektifnya.

Perhatikan saja aspek syot, kesan khas, audio, imej janaan berkomputer (CGI) dan apa juga bentuk teknologi yang dipasakkan memberikan nilai hiburan tambahan.

Bahkan, antara kekuatan RPA adalah paparan visual yang digembleng dengan pemilihan syot-syot yang memukau bagi menambahkan impak babak-babak emosi dan aksi.

Sebagai pengarah, Rupert Wyatt berhak diberikan pujian atas pengarahan yang bijak.

Pengarah berbangsa British ini cekap menerajui sebuah plot tentang pemberontakan dan kebebasan dalam paparan yang pantas, teliti dan misteri.

Isu-isu yang menyentuh peradaban manusia, hubungan sesama makhluk Tuhan, kesejagatan dan kebebasan yang ditunjangi aspek aksi dan emosi menjadikan RPA sebuah ceritera yang bukan calang-calang hasilnya.

Di akhirnya, plot penuh misteri dalam RPA bagai memberikan bayangan bahawa bakal ada sekuel filem ini kelak.

Apa pun, sementara menantikan sejauh mana kebenarannya, memang tidak silap untuk mengangkat RPA sebagai filem terbaik bagi tahun ini.

RPA yang berlatarkan San Francisco, Amerika Syarikat berkisar projek kajian sains oleh Will Rodman lakonan James Franco terhadap spesies beruk atau mawas yang bertukar tragedi.

Filem yang memaparkan peperangan antara manusia dan kumpulan beruk ini bermula apabila ibu kepada beruk bernama Caesar (Andy Serkis) iaitu Bright Eyes ditangkap oleh sekumpulan saintis di dalam hutan tebal dan dibawa ke makmal untuk tujuan kajian sains oleh syarikat perubatan, Gen-Sys.

Dalam pada itu, Rodman telah menghabiskan hampir lima tahun setengah untuk mencari penawar kepada penyakit Alzheimer dan hampir menemui jawapannya dengan penghasilan serum terbaru, ALZ-112

Apabila serum tersebut menunjukkan tindakan balas memberangsangkan selepas diuji pada Bright Eyes, Rodman cukup teruja dengan usahanya tanpa dia mengetahui sesuatu yang buruk bakal berlaku.

Belum pun sempat ujian utama dijalankan, satu kejadian yang tidak diingini telah berlaku sehingga menyebabkan beruk-beruk dalam makmal itu mengamuk.

Keadaan menjadi tidak terkawal apabila peperangan antara puak beruk dan manusia mula meletus.

FILEM: Rise of The Planet of The Apes

ARAHAN: Rupert Wyatt

LAKONAN: James Franco, Freida Pinto, John Lithgow, Tom Felton

GENRE: Aksi, pengembaraan, fiksyen sains

DURASI: 1 jam 45 minit

EDARAN: 20th Century Fox

TAYANGAN: Bermula 4 Ogos 2011

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain