suria

KL Gangster Tidak Sekadar Aksi

Aksi Syamsul dalam KL Gangster sebagai Shark.
Aksi Syamsul dalam KL Gangster sebagai Shark.
Aksi Syamsul dalam KL Gangster sebagai Shark.

Filem: KL Gangster Pengarah: Syamsul Yusof Pelakon: Aaron Aziz, Adi Putra, Syamsul Yusof dan Sheera Iskandar Genre: Aksi Tayangan: Bermula 9 Jun 2011

Pengarah: Syamsul Yusof

Pelakon: Aaron Aziz, Adi Putra, Syamsul Yusof dan Sheera Iskandar

Genre: Aksi

SEJAK filem KL Gangster ditayangkan kepada umum di pawagam, pelbagai perkara menarik yang dibangkitkan.

Ada yang memuji, tidak kurang juga yang mengkritik. Paling pahit untuk ditelan apabila filem mengenai isu gengsterisme ini dikatakan mendedahkan perkara sulit dalam sebuah pertubuhan.

Namun di sebalik polemik hangat yang berlaku itu, tidak dinafikan ia mendorong kepada peningkatan kutipan filem.

Bayangkan, dalam masa tiga hari ditayangkan kutipan jualan filem itu sudah mencecah lebih RM5 juta. Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam menjangkakan kutipan boleh mencapai RM8 juta dalam beberapa hari tayangan lagi.

Bukan itu sahaja, babak aksi yang dicetuskan dalam filem ini juga sedikit sebanyak menarik minat penonton. Lakonan setiap pelakon secara keseluruhannya agak membanggakan.

Biarpun tampak serius dengan gerakan aksi dan mencemaskan, filem ini turut sarat dengan humor, mesej kekeluargaan dan kasih sayang.

Adi Putra dan Syamsul yang memainkan peranan utama sebagai gengster pandai menggunakan mimik muka dan bahasa ‘kasar’ yang menimbulkan rasa gerun dan benci penonton terhadap mereka.

Sebaliknya Zizan (Raja Lawak) dan Aaron Aziz yang menjadi gengster baik berjaya mencuri perhatian penonton dengan raut wajah yang lucu, penuh perasaan kasihan dan sedih.

Pro dan kontra perwatakan yang ditonjol memberikan pengajaran tersendiri di mana yang baik akan menang dan yang jahat akan kecundang. Namun, ironinya tidak semua yang baik dibalas baik apabila Zizan menjadi mangsa bunuh.

Perkara menarik lain yang seronok dikongsi adalah suntingan antara satu plot ke satu plot cerita yang di selang-seli antara aksi dan drama.

Jadi, penonton tidak akan terbuai dengan perasaan marah sahaja tetapi turut tersentuh dengan perasaan sedih, lucu dan kasihan.

Mengikut perancangan, Syamsul telah berkira-kira untuk membikin KL Gangster 2 sebagai sekuel yang akan mengimbas semula di sebalik cerita dan konflik yang berlaku sebelum itu.

Apa-apa pun, tahniah kepada Syamsul dan sepupunya, pembantu pengarah Rizal Ashraff, para pelakon serta seluruh tenaga produksi KL Gangster kerana menghasilkan formula aksi yang boleh dianggap menjadi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain