suria

Keupayaan Afdlin Dalam 'Appalam'

Tiga teraju utama Appalam (dari kiri) Raja Ilya, Gana dan Jaclyn Victor. - Foto The Star oleh BRIAN MOH
Tiga teraju utama Appalam (dari kiri) Raja Ilya, Gana dan Jaclyn Victor. - Foto The Star oleh BRIAN MOH
Tiga teraju utama Appalam (dari kiri) Raja Ilya, Gana dan Jaclyn Victor. - Foto The Star oleh BRIAN MOH

BERILAH apa judul filem pun, tidak kira dari pelosok mana sekalipun ia dihasilkan, kemunculan versi adaptasi bagi sesebuah filem itu pasti mengundang perbandingan. Itu kelaziman yang harus diterima buat si filem adaptasi.

Tempias perbandingan itu turut tidak terkecuali buat filem adaptasi versi Tamil terbaru iaitu Appalam yang berinspirasikan naskhah Papadom (2009) oleh pengarah Afdlin Shauki.

Berbeza bahasa dan pelakonnya, Appalam masih lagi bertunjangkan ceritera kasih sayang sejati seorang ayah, Appalasamy terhadap anak gadisnya Shruti.

Sebagaimana adunan komedi dan drama yang digalas Papadom sebelum ini, Afdlin terus mengangkat garapan serupa dalam filem berdurasi 115 minit ini.

Keseluruhannya, Appalam tampak gah sebagai sebuah filem Tamil tempatan yang moden dan punya pengisian yang kuat. Namun, beberapa kecelaan kecil yang menyelaputi perjalanan cerita ini sedikit sebanyak mengurangkan 'rasa' terhadap filem ini.

Tidak perlu kita kupas dengan mendalam dan teliti tentang garapan Appalam berbanding Papadom kerana filem versi Tamil ini dibikin untuk berdiri dengan sendirinya, cuma bagi yang sudah menonton versi Melayu filem itu, sedikit sebanyak perbandingan itu tetap tidak dapat disangkal juga.

Bagi yang terlepas Papadom, persembahan Appalam ini sebenarnya meyakinkan untuk dilabel sebagai filem yang baik. Rencah dan warna yang dicurahkan oleh Afdlin menerusi air tangannya kali ini tidak kurang hebatnya.

Jika unsur komedi dijadikan kayu ukur, persembahan Appalam boleh dianggap sebagai versi yang lebih lucu. Mungkin kekuatan skrip yang lebih mencuit hati atau persembahan para pelakon India yang kaya dengan mimik muka dan perilaku yang lucu memberi kelebihan pada Appalam.

Celanya Appalam hanyalah sekelumit jika dilihat secara kolektif. Faktor penjiwaan yang kurang oleh pelakon-pelakon utamanya serta pengubahsuaian beberapa plot tertentu yang mengganggu keindahan cerita asalnya masih boleh diterima.

Menariknya, kupasan Afdlin dalam Appalam lebih bijak dan besar. Penekanan pada aspek budaya dan resam masyarakat India, elemen muhibah bangsa Malaysia yang dicanang-canangkan, lagu-lagu dan muzik latar yang bersesuaian dan menyentuh emosi serta kelucuan babak-babak komedinya adalah lebih meyakinkan.

Menyentuh soal lakonan, persembahan barisan pelakon yang mewarnai penceritaan Appalam boleh dibanggakan tetapi kurang mencengkam seperti mana yang pernah dipersembahkan oleh para peneraju filem Papadom.

Walaupun penjiwaan dan penterjemahan dua pendukung utama Appalam iaitu Gana (sebagai Appalasamy) dan Raja Ilya (Shruti) agak longgar berbanding kerjasama Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay dalam Papadom, lakonan Gana dan Raja Ilya tetap harus dipuji.

Gana yang popular dalam industri Tamil tempatan menggalas Appalasamy dengan bersahaja. Penterjemahannya sebagai seorang ayah penyayang lengkap dengan pelbagai rasa dan emosi yang membantu penceritaan. Namun, seandainya Gana dapat memberikan lebih emosi pada babak-babak penting terutamanya yang melibatkan wataknya bersama Shruti, tentu ia lebih berkesan.

Usaha pelakon berdarah kacukan Melayu-Malayali, Raja Ilya dalam melontar dan mengalunkan lenggok Tamil memang memberangsangkan. Cuma, sebagai orang baru, Raja Ilya mungkin boleh memperkemaskan lagi penjiwaan emosinya dalam kerja yang akan datang.

Bagaimanapun, kemunculan komposer muzik terkenal Iman Wan sebagai Wong dalam filem ini adalah sesuatu yang istimewa. Bukan kerana kesempurnaan lakonannya tetapi kecanggungannya menterjemahkan watak lelaki berbangsa Cina itu memang mencuit hati.

Keseluruhannya, segala jerih-perih para pendukung filem ini layak dipuji kerana berjaya mempersembahkan sebuah filem Tamil tempatan yang memberangsangkan.

Bagi yang skeptikal terhadap filem Tamil buatan Malaysia selama ini, berilah peluang dan rasailah pengalaman dan kelainan yang cuba dikongsikan oleh anak seni kita dalam memberi anjakan baru kepada industri filem Tamil di Malaysia.

Berbekalkan bajet RM1.5 juta, filem terbitan Tayangan Unggul ini berkisar kepada hubungan kasih sayang seorang ayah dan anak yang tiada noktahnya.

Selain Gana dan Raja Ilya, Appalam turut membariskan Jaclyn Victor, Sharifah Amani, Shashi Tharan, Kristina Vinokree, Vassantha Kumaran, Afdlin Shauki, Sathia dan ramai lagi.

Apa kata mereka?

"Appalam dihasilkan dengan gaya filem Tamil tempatan tanpa menyelitkan elemen lazim dalam filem-filem Tamil dari Kollywood. Garapan, stail, slanga bahasa dan rencahnya adalah wajah filem Tamil Malaysia. Saya berharap Appalam mendapat sambutan bukan saja masyarakat India tetapi semua bangsa Malaysia, sekaligus mampu mengubah skeptikal penonton tempatan terhadap filem Tamil Malaysia." - Afdlin Shauki, Pengarah

"Selepas kali terakhir filem Tamil tempatan iaitu Saya Anak Malaysia diterbitkan 24 tahun yang lalu, kemunculan Appalam adalah perintis kepada pembangunan filem Tamil tempatan semula. Saya berharap sambutan terhadap filem ini dapat membuka jalan ke arah perkembangan industri filem Tamil seiring dengan filem Melayu di Malaysia." - Gana

"Filem ini menguji kemampuan saya terhadap pertuturan dan penguasaan bahasa Tamil. Walaupun saya boleh memahami serba sedikit bahasa itu tetapi sentiasa bimbang jika tersalah sebut sesuatu perkataan itu. Mujurlah penulis skrip Sasi banyak membimbing." - Raja Ilya

"Pembabitan dalam Appalam adalah pengalaman yang sukar dilupakan. Saya tidak begitu petah berbahasa Tamil tetapi saya belajar banyak perkara dalam filem ini dan ia sangat menyeronokkan. Appalam adalah naskhah untuk rakyat Malaysia." - Jaclyn Victor

Appalam ditayangkan di 43 pawagam seluruh Malaysia bermula 25 November 2010.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Cuti-Cuti Cinta" Yang Hambar

Artikel Lain