BANGLO mewah milik pelakon Rebecca Nur Islam dan bekas suami, Datuk Nur Azam Sulaiman berjaya dilelong dengan harga RM2.92 juta di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada pagi Rabu.
Pelelong berlesen, Ishaq Marazi bagaimanapun tidak dapat mendedahkan maklumat peribadi pembeli atas permintaan tuan badan.
"Saya mendapat tahu rumah itu sudah berjaya dilelong dengan harga RM2.92 juta pada pukul 10 pagi tadi di Mahkamah Tinggi, Shah Alam.
"Saya tidak boleh dedahkan identiti pembeli kerana ini adalah atas permintaannya," katanya ketika dihubungi mStar.

Tular sebaran kediaman lelong di media sosial.
Dalam pada itu, Ishaq menjelaskan banglo mewah yang terletak di Ampang, Selangor itu merupakan milik bersama Rebecca dan bekas suaminya.
Dakwa Ishaq, Rebecca dan Nur Azam dikatakan sudah dua tahun tidak dapat membayar komitmen bulanan kediaman tersebut sehingga terpaksa dilelong.
"Betul dalam geran rumah itu tertulis nama milik bersama bekas suami Rebecca. Kalau tak silap saya rasanya dah dua tahun mereka tidak bayar rumah tersebut, sebelum bercerai lagi.
"Saya tidak buat urusan dengan mereka (Rebecca dan bekas suami), sebaliknya saya berurusan dengan pihak bank. Disebabkan bank sudah tarik dan mereka tak bayar jadi pihak bank bagi senarai kepada kami untuk urusan lelong.
ARTIKEL BERKAITAN: Rebecca Nur Al Islam tamat tempoh idah, mohon doa perjalanan ke Tanah Suci
ARTIKEL BERKAITAN: Tak sangka perkahwinan berakhir dengan perceraian, Rebecca Nur Al Islam masih ‘down’… “Saya baru keluar rumah dua kali”
"Setakat yang saya tahu memang dah lama rumah itu tidak dibayar. Dulu katanya suaminya sakit dan bisnes pun macam tak okay," ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai sebuah kediaman mewah di Jalan SU Utama,, , Selangor akan dilelong dengan harga RM2.91 juta.
Bagaimanapun iklan tersebut tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pemilik kediaman sebaliknya hanya memaklumkan ia adalah rumah seorang artis.
Usaha mStar mendapatkan kenyataan lanjut daripada Rebecca tidak berjaya apabila panggilan dibuat tidak dijawab.

Hubungan Rebecca (kiri) dan Nur Azam sudah berakhir.
Pada Ogos lalu, perkongsian Rebecca di media sosial menarik perhatian ramai apabila aktres berkenaan seakan-akan memberi gambaran hubungannya dengan suami sudah berakhir.
Malah, ketika Rebecca menunaikan ibadah umrah pada September, dia mendedahkan dirinya sudah menamatkan tempoh idah.
Untuk rekod, Rebecca mendirikan rumah tangga dengan Nur Azman pada 14 Januari 2011.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


