TIDAK mahu isu terus berpanjangan, Timbalan Presiden Music Malaysia Ayob Abdul Majid tampil memohon maaf secara terbuka kepada penyanyi Datuk AC Mizal dan ahli kumpulan 4U2C serta penganjur konsert jika kenyataannya sebelum ini mengguris hati mana-mana pihak.
Menurut Ayob, 62, dia langsung tiada niat untuk menjadi hero seperti yang didakwa AC Mizal dalam konflik yang berlaku antara 4U2C dan komposer Man Senoi, sebaliknya hanya ingin membantu sebagai orang tengah.
“Saya terkejut apabila nama saya dikaitkan. Saya hanya buat kenyataan untuk menjadi orang tengah meleraikan isu tersebut sebab saya rapat dengan Man Senoi serta mengenali Datuk AC Mizal ini.
Ayob terbuka bertemu AC.
“Tak perlu untuk saya jadi hero dan memang tiada niat untuk keruhkan keadaan dan menjejaskan apa-apa. Malah, saya berdoa supaya konsert itu diteruskan.
“Jadi kalau ada kenyataan yang saya tulis menyinggung perasaan AC Mizal, ahli kumpulan 4U2C serta penganjur konsert, saya minta maaf. Saya juga tidak nampak apa kesalahan yang saya buat sehingga boleh kena saman,” katanya kepada mStar.
Dalam masa sama Ayob yang juga Presiden IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) memaklumkan dia terbuka sekiranya diberi peluang untuk bertemu dengan AC Mizal bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] AC Mizal kecewa Ajai tak faham undang-undang muzik, tuntut permohonan maaf 24 jam
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Konsert 4U2C tetap jalan, AC Mizal dedah Man Senoi punca berpecah... Lama berdiam sebab malas panjangkan isu
Tambahan pula, kata Ayob, dia dan AC Mizal sudah lama berkenalan selain tidak mahu pengakhiran hubungan mereka sebagai musuh.
“Dalam soal ini, saya sudah berusia, jadi kalau boleh mahukan pengakhiran kami ini sebagai sahabat.
"Bohonglah kalau tidak terasa (dengan kenyataan yang dikeluarkan), saya pun terganggu selepas tengok sidang media semalam.
Ayob kongsi pengalaman bekerjasama dengan AC.
“Sedih memang sedih, sebab AC ini saya kenal rapat . Bawa pergi ‘show’ kemana-mana, tidur sebilik dan sebagainya,” ujarnya.
Untuk info, kontroversi berkaitan konsert 4U2C mula tercetus apabila Man Senoi dan isteri, Mama Rap mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penganjuran WE 4U2C Live In Concert biarpun mereka memiliki hak sepenuhnya ciptaan lagu-lagu kumpulan itu.
Lebih mengeruhkan keadaan apabila Ayob dan Ajai turut tampil memberikan kenyataan masing-masing yang dianggap menyokong Man Senoi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube