SELEPAS terkait dengan isu hak cipta lagu, ketua kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal menjelaskan konsert mereka tetap diteruskan kerana sememangnya mempunyai kelulusan daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
AC atau Mizal Zaini, 54, memberitahu dengan adanya permit berkenaan membuktikan kumpulan itu berada di pihak yang benar.
“Konsert We 4U2C diteruskan! Di bawah undang-undang MACP tidak perlu persetujuan pencipta lagu untuk konsert yang menggunakan live band sebab dah serahkan kepada badan tersebut.
Anggota 4U2C bersama permit Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
“Dengan adanya permit MACP ini menunjukkan kami berada di pihak yang betul.
“Tujuan kami hanya untuk mengadakan konsert, bukan menidakkan hak sesiapa dan sebagainya, kerja kami adalah untuk buat persembahan,” katanya kepada mStar.
AC berkongsi perkara itu ketika majlis sidang media tergempar 4U2C yang diadakan di Tribeca Serviced Hotel, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada petang Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: 31 tahun Man Senoi berdiam, tak halalkan 4U2C guna 25 lagu tanpa izin
ARTIKEL BERKAITAN: 4U2C buat ‘comeback’ hiburkan peminat, imbau kenangan kumpulan pertama menyanyi sambil menari di pentas
Dalam pada itu, kata AC isu yang dibangkitkan penerbit Man Senoi berkaitan hak 25 lagu adalah pelik kerana dia sendiri belum mengumumkan lagu apa yang akan dinyanyikan pada konsert nanti.
Jelas AC lagi, 25 lagu yang didakwa Man Senoi itu hanya sembilan lagu sahaja merupakan ciptaan penerbit itu daripada tiga album yang dikeluarkan 4U2C.
“Saya belum bagitahu lagu apa atau berapa lagu yang kami nak nyanyi!
“Lagipun bukan semua 25 lagu yang Man Senoi kata itu lagu dia, sebaliknya hanya sembilan sahaja daripada ketiga-tiga album 4U2C,” jelasnya.
Man Senoi punca kumpulan kami berpisah!
AC MIZAL
PENYANYI/PENGACARA
Sementara itu, dedah AC, perpecahan 4U2C dahulu sebenarnya disebabkan Man Senoi namun enggan memanjangkan perkara tersebut.
Malah AC meminta Man Senoi untuk mengeluarkan suara ahli kumpulan 4U2C daripada sebarang digital platform kerana mereka sama sekali tidak pernah beri persetujuan.
“Man Senoi punca kumpulan kami berpisah! Cuma kami malas nak memanjangkan isu tersebut dan kekal diam diri.
AC enggan lagi berdiam diri berkenaan isu kelulusan lagu.
“Saya juga mahu minta dia keluarkan suara kami daripada mana-mana digital platform sebab kami tidak pernah beri apa-apa kebenaran,” ujarnya.
Sebelum ini, kontroversi berkaitan konsert 4U2C mula tercetus apabila Man Senoi dan isteri, Mama Rap mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penganjuran WE 4U2C Live In Concert biarpun mereka memiliki hak sepenuhnya ciptaan lagu-lagu kumpulan itu
Man Senoi juga mempersoalkan bagaimana 4U2C hendak mementaskan konsert berkenaan jika 25 lagu yang dirakam adalah hak milik syarikatnya, Zman Production.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube