suria

Treler hanya satu peratus daripada keseluruhan filem, penerbit potong babak panas dalam ‘Pulau’

Fred Chong jelaskan telah potong babak yang mencetuskan kontroversi.

SUSULAN desakan agar filem Pulau dibatalkan tayangannya pada 9 Mac ini, penerbit Fred Chong menjelaskan pihaknya mengambil langkah memotong babak panas yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Fred dalam satu kenyataan media berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pihak produksi tidak menyentuh sensitiviti masyarakat seperti diperkatakan umum.

Malah Fred berharap agar orang ramai tidak membuat andaian awal sebelum menonton filem tersebut di pawagam nanti.

“Kami tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak malah segala bahan promosi seperti treler, poster dan filem Pulau sendiri telah melalui proses pemerhatian oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan senarai wajib tayang Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas).

alif

Salah satu babak dalam Pulau.

“Semua babak yang tidak sepatutnya ditayangkan kepada umum telah dipotong. Kami yakin dengan ketelusan dan profesionalisme pihak LPF, malah kami hormati keputusan lembaga berkenaan.

“Apa yang dipertontonkan melalui treler tersebut hanyalah satu peratus daripada keseluruhan filem. Saya berharap masyarakat tidak membuat andaian sebelum menonton filem penuh,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: LPF terima kandungan treler ‘Pulau’ berbeza, penerbit setuju tukar dengan suntingan baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit jawab dakwaan adegan lucah dalam ‘Pulau’, mahu promosi keindahan pantai dan masyarakat majmuk Malaysia

Fred bagaimanapun berterima kasih atas perhatian luar biasa orang ramai meskipun baru menayangkan treler rasmi filem tersebut.

“Terima kasih saya ucapkan kerana berminat dengan filem Pulau yang dihasilkan WebTVAsia dengan kerjasama Filmforce dan My Way Pictures.

“Sambutan yang kami terima untuk filem ini sangat luar biasa bermula daripada sidang akhbar dan tayangan rasmi treler yang diadakan 12 Januari lalu. Bagaimanapun tidak dinafikan kami juga menerima komen negatif,” katanya lagi.

Terdahulu, Fred Chong menjelaskan pihaknya hanya mahu mengetengahkan budaya sebenar masyarakat di negara ini dan bukannya menunjukkan unsur tidak baik kepada penonton.

Pulau bakal ditayangkan di pawagam pada 9 Mac depan.

Fred berkata, menerusi filem tersebut pihak produksi memaparkan keindahan pulau-pulau yang terdapat di Malaysia sekali gus mempromosikan Pulau Langkawi di mata dunia.

Malah pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) memberitahu terdapat perbezaan di antara kandungan treler filem berkenaan yang dikongsi kepada umum dengan salinan yang dikemukakan bagi tujuan penapisan.

Pulau menampilkan barisan pelakon popular termasuk Alif Satar, Amelia Henderson, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong, Harris Annuar, Jazmy Juma, Mark O’Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain