suria

Penerbit jawab dakwaan adegan lucah dalam ‘Pulau’, mahu promosi keindahan pantai dan masyarakat majmuk Malaysia

Filem Pulau menimbulkan kontroversi sebelum ia ditayangkan.

BELUM pun ditayangkan di pawagam, filem Pulau menerima pelbagai kecaman susulan trailer yang dilancarkan memperlihatkan beberapa adegan yang didakwa tidak sesuai untuk tontonan umum.

Ini termasuk ada mendakwa filem berkenaan memaparkan adegan panas dan lucah yang tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan rakyat Malaysia.

Susulan daripada kontroversi itu, penerbit Pulau, Fred Chong menjelaskan pihaknya hanya mahu mengetengahkan budaya sebenar masyarakat di negara ini dan bukannya unsur tidak baik kepada penonton.

Fred berkata, menerusi filem tersebut pihak produksi memaparkan keindahan pulau-pulau yang terdapat di Malaysia sekali gus mempromosikan keindahan Pulau Langkawi di mata dunia.

pulau1 - 1

Fred selaku penerbit tampil beri penjelasan.

“Sebagai penerbit filem Malaysia, saya sentiasa memperjuangkan kisah rakyat Malaysia yang pelbagai bagi mencerminkan budaya sebenar negara ini dalam seni perfileman.

“Kami berhasrat untuk mempromosikan pulau-pulau indah dan pemandangan eksotik Malaysia seperti mana yang boleh dilihat dengan jelas dalam treler penuh filem ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Alif Satar tidak terlibat babak panas dalam filem ‘Pulau’, syukur pengarah sangat memahami

ARTIKEL BERKAITAN: Ikmal Amry tahu batas sebagai pelakon, usah sensasikan babak tayang badan dalam filem 'Pulau'

“Dengan keindahan alam semula jadi seperti pantai berpasir, hutan rimba, gua tersembunyi dan air terjun yang dapat kita saksikan sepanjang durasi filem ini, kami ingin mempamerkan keindahan Langkawi kepada dunia,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Fred menjelaskan kepelbagaian bangsa sebagai pelakon dalam karya tersebut juga membuatkan ia unik dengan cara tersendiri.

Kata Fred, sudah tiba masa industri perfileman tempatan perlu menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah keluarga yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya.

Saya sentiasa memperjuangkan kisah rakyat Malaysia yang pelbagai bagi mencerminkan budaya sebenar negara ini dalam seni perfileman.

FRED CHONG

PENERBIT

“Kesemua mereka memiliki latar belakang peribadi yang berbeza dan unik seperti Melayu, Cina, India dan Eurasia, sekaligus mewakili perpaduan di negara ini.

"Industri perlu tunjukkan kepada penonton bahawa Malaysia adalah sebuah 'keluarga' yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan budaya, hidup bersama dalam keadaan harmoni.

"Saya melihat Pulau adalah langkah tepat ke arah itu," katanya.

Sementara itu, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyangkal dakwaan filem tersebut memaparkan adegan melampau sehingga boleh meruntuhkan moral masyarakat Malaysia.

pulau2 - 1

Antara barisan pelakon filem Pulau.

PFM menjelaskan tiada sebarang adegan lucah yang tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan rakyat Malaysia dipaparkan berbanding kandungan yang ditayangkan menerusi platform penstriman, media sosial atau internet.

“PFM mewakili Industri Perfileman Tempatan melalui Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Finas telah melaksanakan pra-tonton filem Pulau selepas penerbit mendapat kelulusan rasmi dari Lembaga Penapisan Filem (LPF) berpandukan Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2010.

“Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Finas juga telah meluluskan tarikh tayangan umum di pawagam pada 9 Mac 2023,” katanya.

Untuk rekod, Pulau menampilkan barisan pelakon popular termasuk Alif Satar, Amelia Henderson, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong, Harris Annuar, Jazmy Juma, Mark O’Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain