suria

Shikin Maembong kongsi cabaran kahwin suami orang, terpaksa mengalah - “Kita jangan melawan, itu memang hak dia”

Shikin berkahwin dengan keizinan isteri pertama.

KAKAK kepada pelakon Emma Maembong iaitu Shikin Maembong mendedahkan pernah bergelar isteri kedua dan mengakui tidak mudah hidup bermadu kerana banyak perkara perlu dikorbankan.

Shikin atau Siti Nur' Ashikin Ismail, 40, berkata, sepanjang hampir dua tahun hidup bermadu, dia lebih banyak beralah kerana sedar kedudukannya sebagai isteri kedua.

Bagaimanapun, sebelum mengambil keputusan berkahwin dia sedar akan cabaran yang bakal diharungi namun Shikin reda dan terima dengan hati terbuka.

"Kadang-kadang kalau memang giliran kita tetapi isteri pertama ada hal ke apa, saya memang perlu mengalah. Kita tak boleh sentiasa terikat dengan suami sehingga sakit pun seorang diri.

shikin1 - 1

Banyak perkara yang perlu dikorbankan untuk bergelar isteri kedua.

"Sebelum buat keputusan nak jadi isteri kedua memang kena fikir panjang... memang banyak perkara yang kita kena berdikari sendiri," katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Shikin mendedahkan dia melangsungkan perkahwinan tersebut pada Mac 2020 namun rumah tangga itu hanya bertahan dua tahun.

Jelas Shikin, perkahwinan bersama suami turut mendapat keizinan daripada isteri pertama meskipun sedar bukan mudah madunya menerima hakikat tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: #Bizibody: Bermula modal RM500, Shikin Maembong tak menang tangan urus gerai popia pisang... Berdebar nak bagi Chef Wan rasa!

ARTIKEL BERKAITAN: Lupakan sengketa lama, konflik membabitkan Chef Wan dan Shikin Maembong berakhir baik... "Saya tahu dia hanya ingin menasihati"

"Pada awal perkahwinan saya banyak memohon maaf kepada madu kerana faham hati seorang perempuan. Bila kita berlembut dengannya, Insya Allah lama-kelamaan mereka boleh terima kehadiran kita.

"Saya juga merendahkan ego kerana sedar isteri pertama lebih berhak terhadap suami. Pada saya, kalau nak berkongsi kasih ini, kita kena utamakan isteri pertama.

Dari awal nak jadi nombor dua tu memang kita dah kena fikir. Akhirnya memang banyak perkara yang kita kena berdikari sendiri.

SHIKIN MAEMBONG

"Tapi syukur Alhamdulillah hubungan kami memang baik. Kami boleh keluar bersama-sama dengan suami. Saya memang baik dengan madu," ujarnya.

Meskipun sudah bercerai, Shikin berkata, dia reda dengan perkara itu dan menganggap sudah tiada jodoh di antara dia dan bekas suami.

Shikin berkata, dia sangat menghargai segala kebaikan dan kasih sayang diberikan bekas suami terhadapnya selain sentiasa mendoakan kebahagiannya bersama isteri pertama.

shikin2 - 1

Shikin mahu fokus pada anak dan perniagaannya.

"Kami bercerai sebelum bulan Ramadan tahun lalu. Saya reda dengan ketentuan ini dan menghargai segala pengorbanan yang dibuat bekas suami.

"Kami pun berpisah secara baik... semuanya diselesaikan dengan perbincangan dan tiada simpan apa-apa perasaan tidak baik di antara kami," katanya.

Untuk rekod, Shikin pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Redzuwan Ismail atau Chef Wan pada 5 Disember 2014 namun bercerai pada Jun 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna Natasya yang kini berusia lapan tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain