suria

LPF terima kandungan treler ‘Pulau’ berbeza, penerbit setuju tukar dengan suntingan baharu

Filem Pulau akan menemui penonton pada 9 Mac ini.

BELUM pun ditayangkan, treler filem Pulau sudah mencetuskan kontroversi apabila ia didakwa terdapat adegan kurang bersesuaian untuk tontonan umum.

Lembaga Penapisan Filem (LPF) dalam satu kenyataan kepada media berkata, terdapat perbezaan di antara kandungan treler filem berkenaan yang dikongsi kepada umum dengan salinan yang dikemukakan bagi tujuan penapisan.

"LPF mendapati terdapat perbezaan antara kandungan treler yang dikongsikan di media sosial dan kandungan yang diserahkan untuk penapisan," kata kenyataan tersebut.

Enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu hangat diperkatakan, LPF sebaliknya menegaskan filem tersebut diklasifikasikan sebagai seram dan bukannya pornografi seperti diperkatakan di media sosial.

Lembaga Penapisan Filem klasifikasikan Pulau sebagai filem seram.

LPF bagaimanapun memaklumkan treler filem yang diterbitkan secara dalam talian bukan berada di bawah bidang kuasa mereka.

"LPF hanya menapis filem dan bahan publisiti berkaitan yang akan diterbitkan secara konvensional namun tidak termasuk bahan dalam talian," kata kenyataan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit jawab dakwaan adegan lucah dalam ‘Pulau’, mahu promosi keindahan pantai dan masyarakat majmuk Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Alif Satar tidak terlibat babak panas dalam filem ‘Pulau’, syukur pengarah sangat memahami

Sementara itu, LPF menjelaskan pihaknya sentiasa peka terhadap moral dan budaya masyarakat Malaysia malah akan menayangkan filem sesuai dengan garis panduan ditetapkan.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau berpendapat treler Pulau tidak sesuai untuk ditonton.

Fahmi berkata, susulan penerbitan treler berkenaan, pihaknya juga telah menghubungi Golden Screen Cinemas (GSC) secara peribadi dan difahamkan penerbit bersetuju menarik balik treler tersebut dan menyediakan suntingan baharu.

285821622_3178828812434076_296841350630382832_n

Barisan pelakon filem Pulau.

Sebelum ini, penerbit Pulau, Fred Chong menjelaskan pihaknya hanya mahu mengetengahkan budaya sebenar masyarakat di negara ini dan bukannya menunjukkan unsur tidak baik kepada penonton.

Fred berkata, menerusi filem tersebut pihak produksi memaparkan keindahan pulau-pulau yang terdapat di Malaysia sekali gus mempromosikan Pulau Langkawi di mata dunia.

Pulau menampilkan barisan pelakon popular termasuk Alif Satar, Amelia Henderson, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong, Harris Annuar, Jazmy Juma, Mark O’Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain