suria

[V] Yasin Sulaiman ucap tahniah kepada Anwar, minta kaji undang-undang lapuk mengenai dadah

"SAYA ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim."

Itu reaksi pertama penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman ketika ditemui media selepas sebutan kes berhubung representasi tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Mengambil semangat perdana menteri, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, menyifatkan Anwar mengharungi perjuangan yang lebih dahsyat dan teruk berbanding dirinya sebelum ini.

"Dengan kuasa Allah akhirnya dia telah dilantik untuk jadi perdana menteri.

"Begitu juga saya mengharapkan agar ada keadilan sewajarnya," katanya kepada mStar.

yasin 3

Wardina turut hadir memberikan sokongan kepada Yasin.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Mimpi Laila ini turut berharap Anwar dapat menambah baik undang-undang lapuk terutama kes berkaitan dadah.

"Saya berharap agar perdana menteri kita dapat betulkan undang-undang arkib, undang-undang lapuk yang tidak menetapi perkembangan, pengetahuan dan peradaban.

"Itu telah masuk dalam kes 39B yang beliau pernah hadapi dulu mengenai kes arkib ni jadi saya harap dia faham," ujarnya.

Selain keluarga, rakan selebriti iaitu Wardina Safiyyah turut dilihat hadir memberikan sokongan di mahkamah.

Saya mengharapkan agar ada keadilan sewajarnya!

YASIN SULAIMAN

PENYANYI / KOMPOSER

Dalam prosiding itu, mahkamah menangguhkan keputusan representasi bagi tiga pertuduhan dadah yang dihadapi Yasin pada 11 Januari tahun depan.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih menunggu keputusan ketiga-tiga representasi berkenaan.

Terdahulu, semasa prosiding peguam bela Yasin, Ariff Azami Hussein berkata pihaknya dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan masih memerlukan sedikit masa untuk mempertimbangkan representasi itu yang difailkan 23 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Yasin Sulaiman makin ceria, syukur dapat rawatan dalam penjara... Peguam ‘demand’ pakar HUKM

ARTIKEL BERKAITAN: Yasin Sulaiman terlepas hukuman gantung, bebas tuduhan mengedar dadah

"Hari ini ditetapkan untuk keputusan representasi, namun kami dihubungi oleh pendakwaan bahawa mereka memerlukan sedikit masa.

"Tiada masalah untuk keputusan representasi dalam tempoh singkat, dalam tiga minggu ini," katanya.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin bersetuju satu tarikh singkat bagi keputusan representasi itu selain mengesahkan masih menunggu keputusan representasi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pada 6 Julai lalu, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram.

Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

yasin 2

Peguam Yasin, Ariff.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, Yasin yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 31 Mac lalu, Yasin mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok ganja.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Artikel Lain