suria

Pelakon Syazlin Zainal maut akibat jatuh tingkat 22 pangsapuri, sepupu mohon henti spekulasi

Syazlin meninggal dunia pada Khamis.

POLIS mengesahkan kematian pelakon dan selebriti media sosial, Syazlin Zainal disebabkan terjatuh daripada tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada orang awam yang memaklumkan penemuan mayat seorang wanita di bahagian bawah pangsapuri berkenaan kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

Raub memberitahu mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan adalah seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan bekerja sebagai seorang pelakon sambilan.

Syazlin disifatkan sebagai seorang happy go lucky dan murah dengan senyuman.

“Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.

Terdahulu, industri hiburan dikejutkan dengan berita kematian pelakon drama Oh My Hantaran tersebut selepas dimaklumkan oleh sepupunya, Trisya Azahar menerusi Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon drama ‘Oh My Hantaran’ Syazlin Zainal meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: “Orangnya ‘happy go lucky’ dan murah senyuman” - Rakan selebriti terkejut berita pemergian Syazlin Zainal

Dalam pada itu, Raub menjelaskan siasatan awal polis tidak mendapati sebarang unsur jenayah dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sehubungan itu, pihak polis turut meminta bantuan orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil memberi maklumat di Balai Polis Taman Pelangi atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.

Sementara itu, Trisya menerusi hantaran terbaharu di Twitter memohon orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai kematian Syazlin.

Syazlin pernah muncul dalam dua buah drama sebelum ini.

"Saya mohon kepada semua berhenti buat sebarang kenyataan. Tolong hormat pihak keluarga beliau. Terima kasih semua atas doa dan minta ampunkan dosa beliau dan halalkan segalanya," kongsinya di Twitter.

Menurutnya lagi, punca kematian masih dalam siasatan dan jenazah kini masih berada di hospital.

Trisya turut memberitahu proses pengebumian dan majlis tahlil akan diberitahu kelak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain