suria

Peguam syak ada komplot… Pembida lari selepas berjaya bida barang lelongan Sajat didakwa kawan Aliff Syukri

Foto di sebelah kanan adalah individu yang dikatakan ada kaitan dengan Aliff.

KEGAGALAN pembida membuat pembayaran berjumlah RM132,000 setelah berjaya dalam lelongan awam harta milik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat mengundang tanda tanya tentang identiti individu berkenaan.

Rata-rata ingin tahu tentang motif pembida bernama Mohammad Syazwan Ahmad Fiesol itu menghilangkan diri tanpa sebarang penjelasan lanjut.

Semakan mStar dengan peguam Nurul Hafidzah Hassan mendapati individu terbabit gagal tampil membuat pembayaran sehingga kira-kira pukul 4 petang, Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri terkejut dakwaan hantar staf sendiri bida aset Sajat - “Saya dah tua, tak nak kontroversi dah”

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Suasana sekitar proses lelongan harta di banglo Sajat, 39 barang dibida pada harga RM132,000

Menjelaskan lanjut tentang identiti pemuda terbabit, Nurul Hafidzah berkata dia difahamkan pembida tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan rakan baik Sajat yang juga jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Kata Nurul Hafidzah, foto Aliff dapat dilihat pada profil aplikasi WhatsApp milik Mohammad Syazwan.

aliff 3

Individu berjaya bida aset rumah Sajat tidak munculkan diri.

Hasil semakan juga mendapati individu yang dimaksudkan sering muncul dalam Instagram milik Aliff.

Bagaimanapun Nurul Hafidzah selaku peguam yang mewakili Nurwati Hussin, 41 dan Mohamed Syakir Hussin, 32, daripada OWA Resources Sdn. Bhd iaitu bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Sajat enggan membuat spekulasi tentang kaitan Aliff dalam lelongan berkenaan.

Kes lari dari lelong ini saya tak pernah jumpa lagi... kita sedang melihat dari sudut undang-undang jika individu ini boleh diambil tindakan!

NURUL HAFIDZAH HASSAN

PEGUAM

"Saya tak kenal dia (pembida) tapi profil WhatsApp memaparkan fotonya bergambar bersama Aliff Syukri dan ada kenalan saya memberitahu lelaki itu ada kaitan dengan usahawan itu.

"Tapi saya tak pasti jika lelaki itu disuruh oleh Aliff atau sebagainya, kami hanya membuat spekulasi... tak pasti betul atau tidak," katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Nurul Hafidzah menyifatkan pembida berkenaan seolah-olah melakukan satu penghinaan kepada mahkamah apabila melarikan diri selepas berjaya dalam bidaan.

peguam 5

Peguam mewakili plaintif Nurul Hafidzah Hassan (kiri) dan Zeti Zulkifli.

"Tindakannya ini seperti mempermainkan proses mahkamah di mana saya kira macam satu penghinaan. Kes lari dari lelong ini saya tak pernah jumpa lagi... kita sedang melihat dari sudut undang-undang jika individu ini boleh diambil tindakan.

"Kita penat sebab dah kejar berapa tahun untuk mendapatkan pampasan ini, banyak perbincangan dengan pelbagai permohonan dan sekarang buat macam ni pula, memang pening kepala.

"Tapi kita tak tahulah tindakan ini berniat atau tidak, cuma kita terkilan sebab dah buat semuanya, sekarang ini terpaksa tunggu tarikh bidaan baharu pula," ujarnya yang turut memaklumkan wang deposit RM5,000 milik lelaki tersebut tidak boleh dikembalikan semula dan menjadi sebahagian hasil lelongan.

peguam 1

Senarai barangan yang dilelong.

Sementara itu, Aliff Syukri ketika dihubungi mStar enggan mengulas mengenai spekulasi tersebut kerana ia membabitkan banyak pihak.

"Saya tak nak komen isu ini! Saya tak mahu keluarkan apa-apa kenyataan kerana menghormati semua orang.

"Ya, saya sebagai kawan dia tapi saya tak nak masuk campur apa-apa kontroversi, saya nak bertenang," ujarnya.

Pada petang Selasa, Mohd Syazwan berjaya membida kesemua 39 barang milik usahawan kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat di Kota Damansara.

aliff 4

Antara barangan yang berjaya dilelong.

Proses lelongan ini dibuat bagi menuntut pampasan RM200,000 yang gagal dibayar kepada Nurwati Hussin, 41 dan Mohamed Syakir Hussin, 32, daripada OWA Resources Sdn. Bhd selaku bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Sajat.

Proses bidaan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi itu dibuat sebanyak enam kali membabitkan lapan pembida sebelum ia berkurang kepada tiga.

Pembida perlu menyediakan wang tunai RM5,000 sebelum dibenarkan masuk ke kawasan rumah banglo dua tingkat di No 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara itu.

Untuk rekod kesemua 39 barangan yang dilelong perlu dibida secara pukal bermula dengan harga RM75,000.

Antara barangan yang dilelong adalah set pinggan mangkuk, set bilik tidur, piano, almari antik, sofa, jam berdiri, kipas angin, peti sejuk, televisyen, lukisan, pasu bunga pelbagai saiz dan chandelier.

TONTON VIDEO MUZIK APA APA ROJER!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain