suria

Tetap kena bayar! Sajat gagal elak langsai ganti rugi RM200,000

Permohonan rayuan Sajat ditolak dan dia perlu membayar kepada bekas stokis ganti rugi sebanyak RM200,000.

USAHAWAN kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat yang diburu pihak berkuasa gagal dalam rayuannya bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak hampir RM200,000 kepada bekas stokis syarikatnya, OWA Resources.

Peguam yang mewakili OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan daripada NHA Advocates & Solicitors berkata, Sajat juga diarah oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk membayar kos guaman sebanyak RM5,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Sajat diarah bayar ganti rugi RM200,000 kepada stokis bengkung, kalah kes langgar kontrak

"Keputusan notis usul kebenaran merayu ditolak oleh mahkamah.

"Akhirnya ia memulih serta mengukuhkan imej, reputasi dan jenama perniagaan anak guam saya yang dilanda krisis undang-undang, ekonomi dan persepsi negatif," kata Nurul Hafidzah menerusi kenyataan kepada mStar pada Khamis.

Peguam Nurul Hadzah Hassan (kiri) berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan kes saman terhadap Sajat.

Terdahulu OWA Resources memfailkan saman terhadap Nur Sajat Aesthetic di atas kegagalan syarikat usahawan tersebut membekalkan bengkung dan girdle yang dipesan oleh stokis itu di antara bulan Februari dan April 2018.

Sebelum kes dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Januari 2020, plaintif Nurwati Hussin telah memenangi kes pelanggaran kontrak tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mahkamah Sesyen mendapati barisan peguam plaintif berjaya membuktikan pada keseimbangan kemungkinan yang ketiga-tiga defendan iaitu Sajat, Nur Sajat Aesthetic dan Ashaari Maznan telah melanggar kontrak perniagaan dengan Nurwati.

Keputusan notis usul kebenaran merayu ditolak oleh mahkamah.

NURUL HAFIDZAH

PEGUAM MEWAKILI OWA RESOURCES

Sajat sebelum ini juga pernah membuat laporan polis palsu mendakwa kononnya plaintif menyelewengkan wang syarikat dan melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta.

Saman balas Sajat terhadap Nurwati Hussin juga ditolak Mahkamah Sesyen setelah mendapati ianya adalah fitnah dan ancaman undang-undang tidak berasas.



Sajat dikatakan bersembunyi di luar negara.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa anak guam bukannya penjenayah seperti yang digambarkan oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini dan kemenangan kes ini merupakan testimoni yang mahkamah bersetuju dengan semua bukti yang telah dibentangkan," jelas Nurul Hafidzah lagi.

Untuk rekod Sajat masih lagi menjadi buruan pihak berkuasa dan dia kini dikatakan bersembunyi di luar negara.

Pada 23 Februari lalu, Sajat dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung dakwaan menghina Islam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain