suria

Sajat diarah bayar ganti rugi RM200,000 kepada stokis bengkung, kalah kes langgar kontrak

Sajat perlu membayar ganti rugi hampir RM200,000 kepada bekas stokisnya.

USAHAWAN kosmetik, Nur Sajat diperintah membayar ganti rugi sebanyak hampir RM200,000 kepada bekas stokis syarikatnya, OWA Resources.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu membuat keputusan meningkatkan bayaran ganti rugi dan kos apabila mendapati Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 35, melanggar kontrak perniagaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas stokis bengkung saman Sajat, dakwa reputasinya merudum akibat difitnah

Menurut Pengasas OWA Resources, Nurwati Hussin keputusan terbaharu itu telah memulihkan imej, jenama dan reputasi syarikatnya.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan (kiri) berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan kes saman terhadap Sajat.

"Hakim Mahkamah Sesyen mengadili ganti rugi dan kos kepada kami awal tahun ini, tetapi kami merayu ke atas dua perkara termasuk kos yang tidak diberikan oleh mahkamah itu kerana kes ini melibatkan kos yang begitu tinggi.

"Kami berpuas hati Mahkamah Tinggi Shah Alam bersetuju bahawa perkara yang dituntut itu benar.

"Sudah lama perjalanan kami di mahkamah bagi mencari keadilan... keputusan hari ini mengakhiri krisis perundangan, ekonomi dan reputasi syarikat kami," kata Nurwati.

Sementara itu peguam yang mewakili plaintif, Nurul Hafidzah Hassan berkata, sebelum ini Mahkamah Sesyen meluluskan RM15,000 kepada anak guamnya bagi dua daripada empat ganti rugi yang difailkan pihaknya.

"Sudah tentu kami gembira untuk anak guam kerana berjaya mendapat apa yang mereka mahukan dan untuk mereka terus berniaga dengan reputasi yang tetap kukuh.

"Adalah penting bagi mereka untuk memiliki reputasi yang baik dalam industri ini setelah mereka digambarkan seolah-olah adalah penjenayah, ” kata Nurul Hafidzah.

Untuk rekod, syarikat OWA Resources mengemukakan saman terhadap Sajat berikutan syarikat miliknya, Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd kerana gagal membekalkan produk bengkung dan ‘girdle’ yang sudah ditempah dan dibayar oleh stokis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain