suria

Cikgu sekolah, pelajar kolej dakwa jadi mangsa... Polis PJ pula akan tahan Da’i Syed

Da'i Syed akan ditahan oleh polis daerah Petaling Jaya pada Ahad.

TAHANAN reman membabitkan pendakwah muda, Da'i Syed berhubung dakwaan kes rogol dan cabul nampaknya belum berakhir apabila polis daerah Petaling Jaya pula menahan selebriti itu pada Ahad.

Ia susulan terdapat dua laporan yang diterima polis daripada mangsa di daerah berkenaan.

Penahanan dibuat oleh pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada petang Ahad.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pihaknya menahan suspek dan akan memohon perintah reman bagi menjalankan siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Da’i Syed direman 5 hari untuk siasatan kes rogol gadis

"Suspek akan berada dalam tahanan kita sebaik tempoh tahanan reman ke atas suspek oleh Polis Shah Alam tamat hari ini dan permohonan reman baharu terhadapnya akan dibuat esok (Isnin).

"Ini bagi membolehkan kita menjalankan siasatan berhubung dua laporan membabitkan kes rogol dan cabul serta seks luar tabii yang kita terima sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Polis Petaling Jaya menerima dua laporan polis terhadap suspek dengan salah satu laporan atas dakwaan merogol dan satu lagi atas dakwaan cabul dan seks luar tabii.

Kes rogol dilaporkan oleh seorang wanita berusia 22 tahun yang juga seorang guru sebuah sekolah di Lembah Klang.

Da'i Syed sudah ditahan reman selama 10 hari.

Berdasarkan laporan, dalam kejadian 22 Oktober lalu itu, mangsa dipelawa keluar makan malam oleh suspek untuk menyambut hari lahirnya di sebuah restoran di Petaling Jaya, kira-kira pukul 9 malam sebelum diajak ke sebuah rumah di Damansara Perdana, Selangor dan dirogol.

Kes kedua berkaitan cabul dan seks luar tabii (seks oral) pula dilaporkan seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi pada 17 Oktober lalu, wanita itu dipelawa suspek ke rumahnya di Damansara Perdana, untuk mengajar mengenai pemasaran perniagaan.

Semasa di rumah suspek, mangsa dicabul selain turut dipaksa melakukan seks oral.

Pada 26 November lalu, pendakwah yang dicungkil bakat daripada program realiti televisyen itu ditahan selepas polis menerima laporan dakwaan rogol terhadapnya.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis menerima tujuh laporan polis iaitu dua membabitkan Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol), tiga kes bagi Seksyen 354 Kanun Keseksaan (cabul) dan satu kes di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii).

Manakala satu kes lagi diklasikasikan sebagai tiada tindakan lanjut susulan tiada unsur gangguan seksual.

Pada 1 Disember lalu, pendakwah Da'i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, 25, ditahan semula pada pagi Selasa selepas tempoh reman pertama berakhir pada 1 Disember.

Suspek ditahan reman selama lima hari lagi sehingga Ahad bagi membantu siasatan.

Peguam yang mewakili suspek iaitu Ahmad Amzar Ahmad Azlan memberitahu pihak media, Da'i Syed menafikan kesemua tuduhan yang dibuat ke atasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain